Music

Header Ads

Thursday, September 27, 2018

Jambatan Bako, Satu Lagi Projek Perhubungan Luar Bandar Berjaya Dilaksanakan Di Sarawak


KUCHING, 27 September - Siapnya Jambatan Bako ini nanti merupakan satu lagi kejayaan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menyaksikan perhubungan kawasan luar bandar dapat dicapai. 
Menteri Muda (Jalan Pesisir) Datuk Julaihi Narawi berkata pembinaan Jambatan Bako sepanjang 280 meter ini merupakan projek Kerajaan Negeri Sarawak yang menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.
"Projek Jambatan Bako yang bernilai RM41.2 juta ini adalah salah satu daripada perhubungan luar bandar (rural connectiviti) yang dibina di kawasan pesisir pantai. 
"Hari ini kita akan dapat menyaksikan perhubungan luar bandar ini dapat dilakukan Kerajaan Negeri  Sarawak. 
"Ini merupakan projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dan ianya berada di kawasan Demak Laut," katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan tinjauan di Jambatan Bako di sini, pagi tadi.

Mengenai tempoh masa projek ini disiapkan, Julaihi menjelaskan pembinaannya terpaksa disemak semula dan dijangka siap sepenuhnya 12 Oktober ini.
"Pembinaan Jambatan Bako ini telah bermula Mac 2016 dan sepatutnya siap dalam tempoh dua tahun. 
"Bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan maka tarikh siapnya telah disemak semula dan kini dijangka siap sepenuhnya pada 12 Oktober 2018," ujarnya di mana ketika ini hanya kerja-kerja akhir perlu disiapkan sebelum dibuka kepada orang ramai.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata siapnya Jambatan Bako ini akan memberikan banyak kemudahan dan manfaat kepada penduduk Kampung Bako dan sekitarnya. 
"Siapnya Jambatan Bako dan Jalan Masuk Ke Kampung Bako akan memberikan kemudahan kepada penduduk di 3 buah kampung iaitu Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Tengah dan Kampung Bako Hilir dan sekitarnya yang berjumlah kira-kira 5,000 orang.
"Ini bukan sahaja dapat membangunkan kampung dan meningkatkan sosioekonomi serta memudahkan lagi kehidupan serta dapat membuka banyak lagi kawasan-kawasan baru di sekitarnya," katanya.

Terdahulu, Dr Hazland dan Julaihi mendengar taklimat dari Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengenai status terkini pembinaan Jambatan Bako dan Jalan Masuk Kampung ke Kampung Bako.
Jelas Dr Hazland lagi, pihaknya mempunyai perancangan untuk membangunkan perumahan mampu milik di kawasan sekitar Jambatan Bako ini untuk menampung keperluan rakyat di kawasan Bako dan sekitarnya.
"Kita akan membuka lebih banyak penempatan di kawasan baru di sini terutamanya projek-projek perumahan mampu milik rakyat yang akan kita tempatkan di kawasan ini," ujarnya.
Ditanya mengenai perkhidmatan bot tambang yang sangat sinonim dengan penduduk, Dr Hazland berkata ianya akan diteruskan.
"Kemudahan bot mungkin masih lagi digunakan, tetapi pada jumlah yang minima.
"Bagaimanapun, perkhidmatan bot ke Taman Negara Bako akan tetap diteruskan kerana kedudukannya yang jauh dari darat," katanya.


Turut sama Residen Bahagian Kuching Hj Ismail Hj Mohamad Hanis, Pengurus JKR Wilayah Selatan Chang Kueh Chin, Jurutera JKR Bahagian Kuching Ir. Awang Mohd Fadillah Awang Radzuan, Penghulu Kampung Hijrah Hj Lair Salleh, Penghulu Kampung Tabuan Lot Jas Said dan Ketua Kaum Kampung Bako Hulu Hj Wahid Sani dan beberapa penduduk Kampung Bako.

No comments:

Post a Comment

Back To Top