Music

Header Ads

Friday, September 28, 2018

Kenal Pasti Tanah Untuk Pembinaan Padang Bola Sepak Baru Dan Padang Futsal - Dr Hazland


KUCHING, 26 September - Penduduk di Kampung Muara Tebas diminta untuk mencari tanah yang bersesuaian bagi membina sebuah padang bola sepak baru untuk menggantikan padang bola sepak yang sedia ada yang kini sudah tidak lagi sesuai dan sebuah padang futsal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata sebuah kawasan baru perlu dicari dan dikenal pasti bagi membolehkan pembinaan padang bola sepak dan padang futsal dapat dilaksanakan.
"Saya bercadang menaik taraf padang boleh sepak yang sedia ada ini dengan membina sebuah padang bola sepak yang baru. 
"Pada masa yang sama, sebuah padang futsal akan turut dicadangkan dibina di Kampung Muara Tebas ini dengan peruntukkan sebanyak RM200,000. 
"Justeru, penduduk diminta untuk mengenal pasti tanah yang bersesuaian bagi tujuan pembinaan kedua-dua padang bola sepak dan padang futsal.
"Jika ada tanah yang dimiliki kerajaan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) boleh memohonnya. Jika tiada, tanah kepunyaan orang kampung boleh juga digunapakai. Dalam hal ini, kerajaan boleh mengganti tanah penduduk yang bersetuju itu dengan tawaran yang semasa. Bagaimanapun, ini terpulang kepada penduduk kampung bagi mendapatkan keputusan berkenaan tanah dan jenis padang yang hendak dibina," katanya yang mahu perkara ini dipercepatkan.


Beliau berkata demikian semasa berucap di Perasmian Penutupan Kejohanan Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Piala PIBG 2018 di Padang Bola Sepak Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tebas di sini, Ahad lepas.
Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tebas Hamzah Buang, Guru Besar SK Muara Tebas Ismail Hussein dan Ketua Kaum Sudin bin Rashid. 
Sementara itu, Dr Hj Hazland juga memaklumkan bahawa sebuah akademi bola sepak tempatan Demak Laut akan didaftarkan dengan Kementerian Belia dan Sukan.
"Ketika ini kita ada mempunyai sebuah akademi bola sepak yang mempunyai pelatih yang terdiri daripada anak-anak tempatan. 
"Kita akan daftarkan akademi bola sepak ini dengan Kementerian Belia dan Sukan supaya mudah untuk mendapatkan dana dan saya sendiri boleh menyalurkan dana kepada akademi ini. Selain itu, kita juga akan memberi khidmat latihan pemain bola sepak daripada usia muda lagi dan menganjurkan pertandingan bola sepak dengan lebih sistematik," tambahnya.

Beliau turut juga memberitahu sentiasa menyokong penganjuran program dan aktiviti yang berbentuk kemasyarakatan seperti Bola Sepak Veteran 9 Sebelah Piala PIBG 2018 ini.
"Saya memang menyokong segala program yang baik dan boleh mengeratkan silaturahim antara kita di kampung yang boleh membawa kita ke arah yang lebih tinggi.
"Beberapa tahun lalu, ada beberapa orang daripada Kampung Muara Tebas yang mewakili Sarawak dan negara dalam sukan bola sepak.
"Selain daripada itu program sebegini mengelakkan remaja terjebak ke dalam gejala aktiviti-aktiviti negatif yang boleh merosakkan kampung kita," katanya.

Pada kejohanan itu, pasukan Aning FC berjaya muncul juara selepas membenam cabaran pasukan Selabat 5-1 dalam perlawanan akhir.
Sementara itu, Buntal FC memenangi tempat ketiga selepas menewaskan Inai Kiara menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan. 

Sebanyak lapan pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan yang diadakan selama dua hari bermula 22 hingga 23 September yang lalu.

No comments:

Post a Comment

Back To Top