Music

Header Ads

Friday, September 28, 2018

Jambatan Bako Akan Beri Banyak Manfaat Kepada Penduduk Kampung Bako


KUCHING, 27 September - Siapnya Jambatan Bako dan Jalan Masuk Ke Kampung Bako akan memberikan banyak kemudahan dan manfaat kepada penduduk Kampung Bako dan sekitarnya. 
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni, apabila Jambatan Bako ini sudah boleh digunakan nanti dan siapnya jalan masuk ke Kampung Bako pastinya ia akan memberikan banyak manfaat kepada penduduk khususnya dari segi sosioekonomi dan pembangunan setempat.
"Siapnya Jambatan Bako dan Jalan Masuk Ke Kampung Bako akan memberikan kemudahan kepada penduduk di 3 buah kampung iaitu Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Tengah dan Kampung Bako Hilir dan sekitarnya yang berjumlah kira-kira 5,000 orang.
"Ini bukan sahaja dapat membangunkan kampung dan meningkatkan sosioekonomi serta memudahkan lagi kehidupan serta dapat membuka banyak lagi kawasan-kawasan baru di sekitarnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media dalam lawatan rasmi ke Jambatan Bako di sini, pagi tadi.
Terdahulu, Dr Hazland dan Menteri Muda (Jalan Pesisir) Datuk Julaihi Narawi mendengar taklimat daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengenai status terkini pembinaan Jambatan Bako dan Jalan Masuk Kampung ke Kampung Bako di sini.
Jelas Dr Hazland lagi, pihaknya mempunyai perancangan untuk membangunkan perumahan mampu milik di kawasan sekitar Jambatan Bako ini untuk menampung keperluan rakyat di kawasan Bako dan sekitarnya.
"Kita akan membuka lebih banyak penempatan di kawasan baru di sini terutamanya projek-projek perumahan mampu milik rakyat yang akan kita tempatkan di kawasan ini," ujarnya.
Ditanya mengenai perkhidmatan bot tambang yang sangat sinonim dengan penduduk, Dr Hazland berkata ianya akan diteruskan.
"Kemudahan bot mungkin masih lagi digunakan, tetapi pada jumlah yang minima.
"Bagaimanapun, perkhidmatan bot ke Taman Negara Bako akan tetap diteruskan kerana kedudukannya yang jauh dari darat," katanya.

Turut sama Residen Bahagian Kuching Hj Ismail Hj Mohamad Hanis, Pengurus JKR Wilayah Selatan Chang Kueh Chin, Jurutera JKR Bahagian Kuching Ir. Awang Mohd Fadillah Awang Radzuan, Penghulu Kampung Hijrah Hj Lair Salleh, Penghulu Kampung Tabuan Lot Jas Said dan Ketua Kaum Kampung Bako Hulu Hj Wahid Sani dan beberapa penduduk Kampung Bako.

No comments:

Post a Comment

Back To Top