Music

Header Ads

Wednesday, March 20, 2019

Rakyat Demak Laut Disaran Ambi Bahagian Dalam Kemahiran Teknikal


KUCHING: Rakyat di kawasan Demak Laut disaran mengambil bahagian dalam bidang kemahiran teknikal yang menawarkan gaji yang tinggi dalam pasaran kerja tempatan dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abg Hipni berkata permintaan yang tinggi dalam bidang kemahiran teknikal membolehkan mereka yang menceburinya mendapat tawaran kerja yang cepat dan gaji yang lumayan.
"Hari ini, bidang kemahiran teknikal mendapat tempat di pasaran kerja sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan berasaskan teknikal.
"Sektor minyak dan gas, misalnya menjanjikan peluang pekerjaan yang tinggi selain menawarkan gaji yang lumayan. 
"Begitu juga dengan bidang perubatan yang mana ketika ini sedang menuju ke arah teknikal," katanya semasa berucap di Penutupan Pameran Bidang Technical Vocational Education and Training (TVET) Kampung Bako di Dewan Kampung Bako Hulu, petang ini.
Antara institusi kemahiran yang mengambil bahagian ialah TEGAS, Giat MARA, Centre of Technical Excellence (CENTEXS), Petrosar, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS), i-Cats dan Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sejingkat.
Mereka yang mempunyai kepakaran dalam kemahiran teknikal ini berpeluang bekerja di luar negara yang semestinya menawarkan pendapatan yang tinggi selain dapat menerokai teknologi terkini.
Mengenai penganjuran program TVET hari ini, beliau melahirkan kegembiraan di atas sambutan yang diterima daripada penduduk kampung dan beberapa institusi pendidikan teknikal.
"Program ini amat bermakna kepada penduduk Kampung Bako khususnya para pelajar mengenai kesedaran mereka terhadap pembelajaran kemahiran teknikal.
"Misalnya, hari ini penduduk Kampung Bako dapat melihat sendiri bagaimana teknologi robotik dibina dan digunakan dalam sektor pembuatan dan perkilangan," tambahnya.
Di Demak Laut, kita mempunyai zon perindustrian yang besar di Sarawak iaitu di Samajaya.
"Selain zon perindustrian Samalaju yang terletak di Bintulu, di Demak Laut juga mempunyai zon perindustrian Samajaya.
"Zon perindustrian Samajaya ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan bahkan juga menjana pendapatan negeri menerusi pelaburan antarabangsa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top