Music

Header Ads

Monday, August 20, 2018

Kursus Membuat Makanan Sejuk Beku Mampu Tambah Pendapatan Kepada Suri Rumah Di Kawasan DUN Demak Laut


KUCHING, 20 Ogos - Selepas mengikuti Kursus Membuat Makanan Sejuk Beku 'Frozen Food' ini, sebenarnya banyak peluang yang diperolehi dalam mengikuti kursus seperti ini selain mengetahui mengenai cara-cara membuat kek dan roti, jelas salah seorang peserta kursus Saanah Ling.
Beliau yang juga merupakan Ketua Wanita PBB Kampung Sepinggan Jaya menjelaskan kelebihan kursus ini antara lain dapat memberikan ilham dan idea bagi menghasilkan kuih dan roti dengan lebih kreatif dan menarik serta sedap.

"Selain menambah pendapatan sebagai suri rumah, kursus seperti ini baik bagi mengembangkan lagi perniagaan di kalangan peserta yang terdiri daripada beberapa buah kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.
"Ada di kalangan peserta yang sebelum ini telah mempunyai kemahiran dan perniagaan dalam membuat roti, dan apabila mengikuti kursus ini mereka dapat mempelbagaikan lagi penghasilan kuih dan roti yang sebelum ini tidak pernah dilakukan," katanya yang sangat teruja mengikuti kursus ini dari awal hingga akhir.
Dalam pada itu, wanita di kawasan DUN Demak Laut khususnya suri rumah tidak harus melepaskan peluang dalam mengikuti kursus ilmu ini yang banyak memberi manfaat dan tunjuk ajar.
"Kepada suri rumah yang mempunyai banyak masa terluang dipelawa untuk mengikuti kursus sebegini.
"Selain boleh menjana pendapatan, ia boleh membantu keluarga menambah pendapatan sampingan lebih-lebih lagi ketika ini barangan keperluan di pasaran semakin mahal.
"Juga, hasil selepas mengikuti kursus ini kita boleh memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," tambahnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni dalam ucapannya memberitahu selepas ini golongan wanita di DUN Demak Laut akan diberikan Kursus Asas Keusahawan dan Kursus Pemasaran Atas Talian yang menjadi pelengkap kepada kursus ketika ini.
"Kursus Membuat Makanan Sejuk Beku 'Frozen Food' yang diikuti ketika ini adalah kursus yang digarap dalam menghasilkan produk. Selepas adanya produk, baharulah diadakan Kursus Asas Keusahawanan yang membolehkan para peserta mempunyai pengetahuan dalam asas-asas perniagaan.
"Selepas itu, peserta akan diberikan ilmu mengenai pemasaran menggunakan alat media sosial yang sangat popular ketika ini dalam usaha memasarkan produk yang telah dihasilkan.
"Semua ini bertujuan melahirkan seberapa ramai usahawan wanita di DUN Demak Laut sekaligus membuktikan bahawa golongan hawa juga mampu menjadi usahawan berjaya," katanya.
Pada kursus itu, seramai 18 orang peserta dari Kampung Sepinggan Jaya telah berjaya menamatkan kursus selama satu hari itu yang mana mereka telah diajar membuat kuih 'pastry muffin' dan 'cheese tart'.

Hasilnya ramai di kalangan mereka yang sebelum ini tidak pernah membuat 'muffin' dan 'cheese tart' telah berjaya membuatnya dengan baik dan mampu untuk dijadikan produk perniagaan kelak.

1 comment:

Back To Top