Music

Header Ads

Sunday, February 28, 2021

Pembangunan Luar Bandar Penting Untuk Kesejahteraan Dan Pembangunan Sarawak Masa Akan Datang


DEMAK LAUT, Kuching: Sejak dari dahulu lagi, Kerajaan Sarawak sentiasa mementingkan pembangunan di kawasan luar bandar demi kesejahteraan dan pembangunan masyarakat negeri ini. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini bagi memastikan pembangunan di bandar dan luar bandar seimbang dengan rakyatnya menikmati kesejahteraan bersama. 


"Di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS), pembangunan dan kesejahteraan rakyatnya sentiasa menjadi keutamaan selari dengan hasrat Kerajaan Sarawak membawa negeri ini maju pada tahun 2030. 


"Inisiatif Kerajaan Sarawak seperti memperuntukan belanjawan pembangunan yang besar di kawasan luar bandar setiap tahun dengan meneruskan Projek Rakyat berimpak besar, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) telah banyak mengubah landskap pembangunan luar bandar. 


"Semua ini adalah bertujuan untuk berkongsi hasil kekayaan negeri secara bersama dan sekaligus mengurangkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar," katanya. 


Beliau yang ditemui selepas meninjau Projek RTP Bina Baru Benteng Bukit Bujang Allin 2 Kampung Tabuan Hilir baru-baru ini menambah pembangunan seimbang bandar dan luar bandar turut penting untuk ekonomi negeri. 



"Misalnya, penubuhan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) dan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah  (RECODA) yang bertujuan membangunkan kawasan luar bandar seperti mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan dari luar negara. 


"Manakala, cadangan menubuhkan Agensi Pembangunan Wilayah Selatan (SRDA) bagi tiga kawasan di DUN Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut yang menumpukan kepada sektor pelancongan berteraskan alam semulajadi, marin, kesihatan, arkeologikal, pendidikan serta bidang pertanian dilihat mampu meningkatkan ekonomi Sarawak dan penduduk setempat," tambahnya. 


Projek RTP Bina Baru Benteng Bukit Bujang Allin 2 Kampung Tabuan Hilir menelan kos sebanyak RM100,000 telah bermula pada 10 November 2020 dan dijangka siap pada 30 Mac 2021 bertujuan mencegah hakisan tanah di sekitar kawasan tersebut. 


Hadir sama Pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR), kontraktor dan pemimpin di peringkat kampung.

No comments:

Post a Comment

Back To Top