Music

Header Ads

Wednesday, March 3, 2021

Projek Naik Taraf Jalan Konkrit Kampung Bako Bernilai RM5.38 Juta Mula Dilaksana, Beri Manfaat Besar Kepada Penduduk Kampung Bako


DEMAK LAUT, Kuching: Salah satu faktor pembangunan dan kemajuan di sesebuah kawasan ialah adanya jalan perhubungan yang baik. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, menerusi jaringan atau jalan perhubungan yang baik membolehkan peningkatan sosioekonomi, sosiobudaya, kesejahteraan kehidupan dan kemakmuran rakyat di kawasan berkenaan.


“Projek Naik Taraf Jalan Konkrit Kampung Bako yang akan dilaksanakan nanti mempunyai lebar 4.5 meter yang boleh dilalui kenderaan seperti kereta dan lori kecil pastinya akan memberi manfaat yang besar kepada penduduk Kampung Bako secara keseluruhannya. 


“Ini akan membolehkan aktiviti ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan dengan lebih mudah lagi seperti membawa hasil pertanian dan perikanan untuk dipasarkan, mengurangkan kos pengangkutan dan meningkatkan taraf kehidupan masyarakat yang lebih baik dan selesa. 


“Dan, yang lebih penting menjadikan kawasan itu mengalami proses distribusi lebih baik dan menyeluruh untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya. 



Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Majlis Penyerahan Tapak Menaik Taraf Jalan Konkrit Kampung Bako pada Selasa. 


Mengulas lanjut, Dr Hazland berkata projek yang bernilai RM5.38 juta itu telah mendapat kelulusan daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). 


“Bersyukur dan terima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak dan Kerajaan GPS yang telah meluluskan peruntukan bagi melaksanakan Projek Menaik Taraf Jalan Konkrit Kampung Bako yang merupakan impian penduduk kampung dalam meneruskan agenda pembangunan. 


“Projek Naik Taraf Jalan Bako akan mengambil masa selama 12 bulan untuk disiapkan dan apabila siap kelak ianya akan mentransformasikan Kampung Bako menjadi lebih baik dan sekaligus menguntungkan penduduk secara keseluruhannya. 


“Projek ini juga akan mengubah landskap Kampung Bako menjadi kampung tradisi moden yang terkenal sejajar dengan terkenalnya Taman Negara Bako di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.



Hadir sama Pengurus Projek, JKR Wilayah Selatan Syahril Julaihi, Penolong Jurutera Residen, JKR Wilayah Selatan Iskandar Trevor, wakil Jurutera Bahagian JKR Kuching Khairul Izam, kontraktor Kejuruteraan Janje Sdn Bhd, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Kampung Bako. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top