DEMAK LAUT, Kuching: Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah melalui pelbagai transformasi sejak penubuhannya pada 29 Ogos 1975 oleh Perdana Menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, transformasi ini sejajar dengan perubahan semasa yang berlaku di dalam negara.
“Rukun Tetangga merupakan program sukarela yang bertujuan membantu dalam pembangunan masyarakat.
“Semasa penubuhannya oleh Tunku Abdul Rahman pada 1975, Rukun Tetangga turut menjamin keselamatan penduduk setempat.
“Bagaimanapun, pada tahun 1984, fokus pertubuhan tersebut telah bertukar kepada merapatkan hubungan antara pelbagai kaum dan pada 2001 fokus Rukun Tetangga sekali lagi bertukar dengan kembali memfokuskan kepada pembangunan masyarakat setempat,” katanya menerusi entri terbaru di Facebooknya selepas menyampaikan dana tahunan untuk KRT kampung Tabuan Dani dan tadika KEMAS Kampung Tabuan Dani di rumah Ketua Kaum Kampung Tabuan Dani Haji Yusuf pada Ahad.
Menurut Dr Hazland lagi, berdasarkan kepada perubahan semasa dan kehendak masyarakat, KRT kini lebih bersifat mengukuhkan perpaduan menerusi penganjuran berbentuk kemasyarakatan.
“Setiap KRT digalakkan untuk menganjurkan program berbentuk kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan selain program meningkatkan perpaduan dan integrasi kaum.
“Dalam pada itu, KRT juga menganjurkan kumpulan rondaan Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) pada waktu malam untuk mengurangkan kegiatan jenayah di sekitar kawasan kejiranan.” ujarnya.
Untuk itu, KRT perlu lebih berperanan aktif di peringkat kampung bagi memperkasakan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat selain memastikan keselamatan kejiranan terjamin. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment