Music

Header Ads

Sunday, September 16, 2018

120 Peserta Bermotosikal Jayakan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0


KUCHING, 16 September - Sebanyak 120 buah motosikal dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah menjayakan aktiviti Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 di sini, semalam.

Aktiviti ini telah diadakan buat kali keempat berturut-turut bersempena sambutan Hari Malaysia yang disambut setiap 16 September.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Hj Hipni, Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 yang diadakan pada hari ini adalah kali keempat diadakan di DUN Demak Laut sejak empat tahun lepas.

“Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 ini merupakan kesinambungan aktiviti yang sama pernah kita anjurkan sejak empat tahun selepas penganjuran kali pertama diadakan pada tahun 2014.

“Sejak dilaksanakan empat tahun lepas, penglibatan peserta khususnya golongan pemuda di setiap ranting di DUN Demak Laut, Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan AJK Seberkas amat menggalakkan.

“Selain Pemuda PBB di peringkat ranting, AJK PBB dan Seberkas, turut serta dalam Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 pada kali ini ialah 20 orang peserta yang terdiri daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berpangkalan di Kuching,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa ditemui sebelum upacara pelepasan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 di perkarangan Terminal Bako di sini, pagi semalam.

Turut sama menyertai Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai.

Turut hadir Penghulu Kampung Bako Hajah Janibah bte Hazemi, Penghulu Kampung Bako Hijrah Haji Lair bin Salleh dan Ketua Kaum Bako Tengah Haji Wahid bin Saini.

Terdahulu, sebelum berlepas telah diadakan satu taklimat khas berhubung dengan laluan yang akan dilalui peserta selain langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dan diiringi bacaan doa.

Setiap peserta telah membawa bersama bendera Jalur Gemilang, bendera Sarawak dan bendera PBB.


Di sepanjang konvoi itu, peserta telah melalui beberapa buah kampung di kawasan DUN Demak Laut seperti Kampung Selabat, Kampung Muara Tebas, Kampung Gobielt, Kampung Senari, Terminal Kampung Semilang/Beradek, Kampung Sejingkat, Taman Sepakat Jaya, Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kampung Tabuan Melayu dan berakhir di Kampung Tabuan Lot.

Kehadiran peserta konvoi di setiap kampung dan taman yang dilalui telah mendapat sambutan baik sehingga ada di kalangan mereka yang merakam video dan gambar dengan menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik di media sosial milik mereka. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top