Music

Header Ads

Wednesday, September 5, 2018

Maklumat Golongan Asnaf Di DUN Demak Laut Sentiasa Dikemaskini - Dr Haji Hazland


KUCHING, 5 September - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut sentiasa mengemaskini maklumat berkenaan penerima sumbangan dan bantuan yang ada di kawasan DUN Demak Laut.

Maklumat ini penting bagi membolehkan mereka yang benar-benar layak mendapat dan menerima bantuan dan sumbangan daripada jabatan atau agensi kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland bin Haji Abang Hipni berkata, bantuan yang diberikan pada hari ini adalah bertujuan untuk mengemaskini senarai penerima bantuan yang ada di kawasan DUN Demak Laut.

"Program pada hari ini adalah inisiatif Pusat Khidmat DUN Demak Laut dalam mengemaskini maklumat dan data penerima bantuan di dalam kawasan DUN Demak Laut.

"Maklumat-maklumat ini perlu kita kemaskini supaya tidak ada penerima bantuan yang benar-benar layak tercicir seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
"Ini meliputi mereka yang terdiri daripada warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU)," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim dan Pelajar-Pelajar Berjaya Melanjutkan Pengajian di Institut Pengajian Tinggi di sini, Ahad lepas.

Jelas Dr Haji Hazland lagi, kerajaan mempunyai pelbagai bentuk bantuan yang dikhususkan kepada mereka yang layak menerimanya. 
"Kerajaan mempunyai pelbagai jenis bantuan yang diberikan kepada golongan asnaf seperti warga emas, anak yatim, ibu tunggal dan OKU.
"Setiap tahun kerajaan telah memperuntukan sejumlah dana bagi membantu golongan ini.
"Bantuan ini perlu diberikan kepada penerima yang benar-benar layak supaya agenda kerajaan untuk meringankan beban golongan asnaf ini tercapai," ujarnya.

Pada majlis itu seramai 153 orang penerima golongan asnaf yang terdiri daripada warga emas, anak yatim dan OKU menerima sumbangan daripada Dr Haji Hazland.
Turut menerima, 6 orang pelajar yang telah berjaya melanjutkan pengajian di IPT.
Turut hadir Ketua Kaum Fauzi Ameng dan Ketua Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Semilang Panyi Han.

No comments:

Post a Comment

Back To Top