Music

Header Ads

Wednesday, September 5, 2018

Kerajaan Pusat Diharap Prihatin Terhadap Pembangunan Sarawak


MIRI - Keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap pembangunan Sarawak akan menyemarakkan lagi taat setia rakyatnya terhadap Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan Sarawak amat berharap kerajaan persekutuan dapat memberi perhatian yang serius terhadap pembangunan khususnya pembangunan infrastruktur dan penyelesaian terhadap sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.

“Pada tahun ini, kita meraikan 55 tahun kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia dan perjuangan kita adalah untuk meneruskan pembangunan bagi menentukan seluruh rakyat Sarawak menikmati kemudahan asas dan infrastruktur yang baik.

“Kita sama-sama berdoa agar keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap pembangunan di Sarawak akan menyemarakkan lagi taat setia anak Sarawak terhadap Malaysia selaras dengan tema Hari Kebangsaan pada tahun ini, iaitu ‘Sayangi Malaysiaku’,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Buku Program Cenderamata Majlis Jamuan Teh Bersempena Hari Kebangsaan 2018 Peringkat Negeri Sarawak di Hotel Pullman Miri, baru-baru ini.

Abang Johari berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan kerajaan persekutuan yang baharu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad demi menjaga kepentingan rakyat Sarawak berasaskan lunas-lunas Perlembagaan Persekutuan.

“Pada masa yang sama, kita akan meneruskan usaha untuk mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis seperti mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya,

Baru-baru ini katanya, Ordinan Perlombongan Minyak 1958 telah dipinda untuk memperkukuh fungsi kawal selia kerajaan terhadap industri minyak dan gas, hiliran mahu pun huluan Sarawak selaras dengan usaha untuk memastikan hak-hak Sarawak terus terpelihara.

Abang Johari menambah, pada tahun ini sebanyak RM2 bilion diperuntukkan untuk menyelesaikan masalah kekurangan air di seluruh negeri dan RM5 bilion untuk pembinaan jalan, jambatan dan projek-projek lain supaya rakyat mampu menikmati kehidupan yang lebih selesa, khususnya mereka yang berada di luar bandar dan pedalaman.

Hadir sama isteri Abang Johari iaitu Datin Patinggi Datuk Juma’ani Tuanku Bujang, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip yang juga menteri bertanggungjawab untuk program ini, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Rosey Yunus dan Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top