Music

Header Ads

Wednesday, September 5, 2018

GPS Perlu Pandang Serius Keyakinan PKR Peroleh 18 Kerusi DUN Pada PRN Sarawak 2021


KUCHING - Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memandang serius keyakinan tinggi disuarakan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli untuk menang 18 kerusi Dewan Undangan Negeri pada Pilihan Raya Negeri seterusnya.

Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Fatimah Abdullah berkata senario politik sudah berubah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang menyaksikan sokongan rakyat kepada PKR meningkat.

“Ia memberi mereka (PKR) keyakinan tinggi,” katanya semalam ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Rafizi pada program PKR hujung minggu lepas di sini.

Dari segi sumber kewangan dan jentera politik juga PKR dijangka tidak berhadapan masalah bagi parti yang merupakan antara komponen yang membentuk kerajaan di peringkat persekutuan.

“Perkembangan ini harus membuatkan jentera Wanita, Pemuda, Bapa dan wakil-wakil rakyat (GPS) bekerja lebih gigih lagi. Tidak lagi berada di zon selesa,” tegasnya.

Bagaimanapun, Fatimah yang juga Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak berkata hanya parti Sarawak memahami kehendak warga negeri ini, misalnya mengenai hak Sarawak.

Beliau mengaitkannya dengan pengakuan Rafizi seperti disiarkan The Borneo Post pada 4 September.

Rafizi dilaporkan mengakui beberapa pemimpin politik dari Semenanjung Malaysia sekadar bermuka-muka apabila membicarakan tentang perjuangan menuntut hak Sarawak daripada persekutuan.


Tetapi apabila balik ke Semenanjung, mereka tidak berbuat apa-apa terhadap perkara tersebut.

Justeru, Fatimah berkata GPS merupakan parti politik terbaik untuk menuntut dan mempertahankan hak Sarawak.

“Saya menyeru kepada jentera parti, Wanita, Pemuda dan Bapa mari kita ke medan bakti, Sarawak Ibu Pertiwiku,” katanya.


Pada Pilihan Raya Negeri 2016, GPS (sebelum ini Barisan Nasional) memenangi 72 kerusi, PKR (3) dan DAP (7).

Selepas PRU14, landskap politik Malaysia berubah apabila Barisan Nasional tewas di tangan Pakatan Harapan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam persaingan membentuk kerajaan persekutuan.

Pada Mei lepas, PKR menawan empat kerusi Parlimen di Sarawak menerusi kemenangan di Puncak Borneo, Saratok, Selangau dan Miri. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top