Music

Header Ads

Monday, October 5, 2020

PBB Kini Dalam Keadaan Siap Sedia Hadapi PRN Sarawak, Sambut Baik Insentif Pendidikan Kepada Pelajar Berjaya Melanjutkan Pengajian Di IPT


SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyambut baik gesaan dan saranan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg supaya  setiap ahli PBB bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada bila-bila masa dari sekarang.


“Kami wakil rakyat dan ahli PBB kini telah bersedia menghadapi PRN Sarawak yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang.


“Malah, persediaan kami telah bermula sebaik sahaja menang dalam PRN Sarawak 2016 dan terus bekerja sehingga ke hari ini.


“Semangat ‘Sarawak Diutamakan atau Sarawak First’ akan menjadi pegangan kami ahli PBB untuk terus memperjuangkan hak Sarawak untuk Rakyat Sarawak hari ini dan masa depan serta menjaga kebajikan Rakyat di negeri ini,” katanya. 


Beliau berkata demikian ketika mengulas ucapan Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Zohari di Konvensyen PBB Zon Tengah pada Sabtu. 



Terdahulu, Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan beliau tidak tahu bila PRN Sarawak akan diadakan, tetapi memberi gambaran jelas bahawa ia semakin dekat. 


“Mesej saya kepada anda jelas. Saya tidak tahu bila gong itu akan dipalu…. tetapi tangan untuk membunyikan gong sedang dalam keadaan bersedia,” katanya. 


Justeru, Ketua Menteri memohon supaya Rakyat terus memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengekalkan pemerintahan. 



Dalam pada itu, Dr Hazland turut menyambut baik perhatian Ketua Menteri ke atas pemberian sumbangan kepada pelajar Sarawak yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi. 


“Sebelum ini, Kerajaan GPS telah membantu ibu dan bapa dalam pemberian RM1,000 kepada setiap anak yang dilahirkan mulai tahun 2019 menerusi Endowment Fund Sarawak (EFS), membantu ibu di dalam pantang untuk membeli keperluan anak sebanyak RM450 dan bantuan kepada orang yang meninggal dunia sebanyak RM3,000 bagi menguruskan jenazah. 


“Kini, cadangan pemberian sumbangan sebanyak RM300 hingga RM1,000 kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi yang merupakan salah satu usul yang dikemukakan PBB akan dibincangkan dengan sewajarnya.


“Seperti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, kita turut memberikan insentif kepada setiap pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sebagai galakan dan motivasi kepada mereka untuk mencapai cita-cita,” ujarnya. -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top