Music

Header Ads

Wednesday, March 20, 2019

Janji Dikota Padang Futsal Kampung Bako Hijrah Jadi Kenyataan


KUCHING: Belia Kampung Bako Hijrah melahirkan rasa gembira apabila padang futsal yang diimpikan menjadi kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata pemimpin Sarawak berpegang kepada kata yang dijanjikan kepada rakyat.
"Belia di Kampung Bako Hijrah sudah boleh tersenyum apabila padang futsal yang mereka cadangkan sebelum ini kini sedang dibina.
"Padang futsal ini merupakan salah satu projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dengan kos berjumlah RM188,000.
"Padang futsal ini turut dilengkapkan dengan lampu, tandas dan bilik persalinan yang akan memberikan kemudahan kepada penduduk bermain di waktu malam," katanya semasa ditemui selepas menyaksikan simbolik penyerahan Projek Padang Futsal Kampung Bako Hijrah, semalam.
Pada majlis ringkas itu, pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) Mohamad Khalid bin Abdul Rahim telah menyerahkan projek ini kepada wakil kontraktor yang telah dilantik Syarikat Gigih Prasarana sambil disaksikan Dr Hazland dan Penghulu Lair bin Salleh, Ketua Kaum Kampung Bako Hijrah Ahed bin Jenis serta penduduk kampung.
Sebelum ini, Parti AMANAH Negara (AMANAH) Sarawak menerusi pengerusinya Fidzuan Zaidi telah mempersoalkan pembinaan padang futsal ini.
Bagaimanapun, Dr Hazland membidas perkara ini yang disifatkannya sebagai perbuatan terdesak untuk meraih sokongan.
"Kerajaan Sarawak mempunyai prosedur yang perlu diikuti untuk membuat sesuatu permohonan projek.
"Kita di DUN Demak Laut telah mempunyai senarai projek-projek yang dimahukan rakyat. Senarai projek-projek ini akan diperhalus dan diteliti dari kos, keperluan dan keutamaannya.
"Kemudian, ianya akan diluluskan dan diadakan cabutan undi bagi pemilihan kontraktor seperti yang telah diamalkan sebelum ini," tambahnya.
Ditanya mengenai tempoh masa projek pembinaan padang futsal ini, Dr Hazland memberitahu ianya mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan.
"Tarikh mula kontraktor memiliki tapak pada 15 Februari lepas dan dijangka siap pada 6 Jun 2019.
"JKR Sarawak merupakan agensi kerajaan yang akan menyelia dan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi," katanya.
Justeru, beliau meminta pihak kontraktor memastikan pembinaannya nanti dapat dilaksanakan mengikut apa yang telah termaktub dalam perjanjian.

No comments:

Post a Comment

Back To Top