Music

Header Ads

Friday, January 17, 2020

2 Pelajar SK Muara Tebas Berjaya Lanjut Pelajaran Di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari


KUCHING: Dua orang pelajar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Tebas berjaya melanjutkan pelajaran di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni, kejayaan dua orang pelajar dari SK Muara Tebas ini amat membanggakan dan menjadi contoh kepada pelajar-pelajar lain yang mempunyai bakat untuk melanjutkan pelajaran di sekolah berprestasi tinggi. 

“Tahniah dan syabas kepada Mohamad Fatahin bin Budiman dan Azizi Rifzan bin Azizan di atas kejayaan melanjutkan pelajaran ke Akademi Mokhtar Dahari yang berprestij. 

“Ini bukan sahaja kebanggaan kepada ibu bapa dan keluarga, tetapi juga kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dan Sarawak dalam melahirkan pemain bola sepak berkaliber suatu hari nanti serta dapat mewakili negeri dan kebangsaan di peringkat antarabangsa. 

“Ini juga membuktikan Sarawak tidak ketandusan pemain bola sepak pada masa akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada Mohamad Fatahin dan Azizi Rifzan sebagai galakan untuk terus berjaya di Pusat Khidmat N5 Demak Laut pada Selasa. 

Dr Haji Hazland menambah, sebelum ini ada beberapa pelajar dari kawasan DUN Demak Laut telah berjaya melanjutkan pelajaran ke beberapa akedemi dan sekolah sukan di Semenanjung dalam beberapa bidang sukan. 

“Sebagai wakil rakyat, saya sangat menyokong penglibatan pelajar-pelajar untuk terlibat aktif dalam bidang sukan. Bagaimanapun, ini perlu diseimbangkan dengan akademik bagi memastikan sahsiah pelajar itu dapat dibentuk dalam pakej yang sempurna,” tambahnya. 

Di kawasan DUN Demak Laut, Dr Haji Hazland turut memperkenalkan insentif kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Sehingga kini, DUN Demak Laut telah melahirkan ribuan pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat IPT. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top