Music

Header Ads

Sunday, January 19, 2020

Kerajaan Sarawak Tidak Pernah Abaikan Kemudahan Persekolahan Demi Keselesaan Anak-Anak Sarawak


KUCHING: Walaupun pernah diarah untuk tidak dibenarkan memasuki sekolah malah menghadiri program dan aktiviti di sekolah, Kerajaan Sarawak tidak pernah berputus asa malah terus memberi dan menyediakan kemudahan di sekolah demi keselesaan anak-anak Sarawak. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Haji Hipni berkata hanya dengan pendidikan sahaja mampu mengubah dan menjadikan masa depan anak-anak Sarawak berjaya. 

“Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, ada beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang melibatkan naik taraf dan menyediakan kemudahan sekolah sedang dilaksanakan. 

“Ini dilakukan selepas melihat kepentingan dan keperluan menyediakan kemudahan di sekolah akibat daripada kerosakan, pertambahan pelajar dan juga keperluan mendesak. 

“Dengan peruntukan RTP yang disediakan Kerajaan Sarawak, beberapa projek-projek naik taraf dan pembinaan kini sedang dilaksanakan seperti yang dilihat di Sekolah Kebangsaan (SK) Gobeilt bagi memberi keselesaan kepada pelajar, guru dan kakitangan sekolah. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas melakukan tinjauan Projek Menaik Taraf Perkarangan Sekolah Rendah Goebilt pada Khamis. 

Projek Naik Taraf Perkarangan SK Goebilt ini kini sedang dilaksanakan sejak 14 Oktober 2019 dan dijangka siap pada 1 Mac 2020. 

Projek yang bernilai RM70,000 itu melibatkan menimbus tanah di hadapan kawasan sekolah berdekatan makmal komputer, menukar pagar sekolah sepanjang 93 kaki, membina tembok sebagai asas pagar baharu sepanjang 93 kaki, membina dinding/wall tanda nama sekolah berukuran 20 kaki x 7 kaki dan menggantikan pintu pagar sliding berukuran 20 kaki x 7 kaki. 

Tambah Dr Haji Hazland, pendidikan merupakan suatu keperluan yang diutamakannya dalam memastikan kawasan DUN Demak Laut ini terus melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang mahir.

“Sejak dilantik menjadi wakil rakyat di DUN Demak Laut, salah satu keutamaan yang menjadi fokus saya ialah pendidikan. 

“Pendidikan ini, bukan sahaja melibatkan aspek pengajaran dan pembelajaran, tetapi juga aspek kemudahan yang ada di sekolah. 

“Dengan adanya kemudahan yang sempurna, ianya akan memberi keselesaan kepada pelajar dan guru serta kakitangan sekolah sekaligus memacu kepada lahirnya modal insan menjelang tahun 2030,” tambahnya. 

Selain SK Gobeilt, ada dua lagi projek RTP lain yang sedang dilaksanakan di sekolah-sekolah di DUN Demak Laut antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako dan SK Muara Tebas.

Hadir sama Penghulu Haji Udin Amit, Ketua Kaum Haji Mokhtar Ghani, Ketua Ranting PBB Goebilt Suaidi Usup, Pegawai JKR Kuching dan Guru Besar SK Goebilt.

No comments:

Post a Comment

Back To Top