Music

Header Ads

Thursday, January 16, 2020

MA63, OMO58 Beri Kelebihan Kepada Kerajaan Sarawak



KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai kelebihan untuk kes saman sivil ke atas Syarikat Petrolium Nasional (PETRONAS), tetapi akan mengambil masa yang panjang dengan melalui proses perundangan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Haji Hazland Abang Hinpi berkata menerusi ketiga-tiga dokumen ini sudah cukup membuktikan kebenaran memihak kepada Kerajaan Sarawak. 

“Berdasarkan dokumen yang ada pada Kerajaan Sarawak sepertiOrdinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) ianya jelas memihak kepada kita.

“Malah, apa yang dilakukan Kerajaan Sarawak dengan mengenakan cukai lima peratus ke atas produk minyak dan gas adalah selari dengan Ordinan Cukai Jualan Negeri berdasarkan dokumen yang sedia ada. Kita akan mempertahankannya daripada sebarang tindakan PETRONAS yang cuba untuk menafikannya. 

“Bagaimanapun, ini tertakluk lagi kepada proses perbicaraan yang memerlukan hujah dan penjelasan daripada kedua-dua pihak selain proses perundangan yang dijangka akan mengambil masa.

“Dalam hal ini, rakyat harus faham bahawa proses perundangan akan mengambil masa panjang. Malah, dalam keadaan ini rakyat perlu memberikan sokongan kepada peguam negeri dan Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan haknya semula ,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Kerajaan Sarawak yang menyaman PETRONAS selepas gagal membayar lima peratus cukai jualan terhadap produk petroleum yang digali di negeri ini di Mahakamah Tinggi Kuching semalam. 

Terdahulu, Mahkamah Rayuan di Putrajaya menolak rayuan Kerajaan Sarawak dan Komtroler Cukai Jualan Negeri terhadap PETRONAS pada 10 Disember tahun lepas. 

Jumlah RM1.3 bilion SST yang tidak dibayar dan penalti itu dikira sehingga 30 Jun 2019. 

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang menunda perbicaraan itu, Dr Haji Hazland yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan tetap menyokong apa sahaja tindakan Kerajaan Sarawak dalam mendapatkan kembali hak biarpun berdepan dengan prosedur undang-undang ketat dan dolak dalih daripada PETRONAS.

“Lihat apa yang berlaku semalam (Selasa) di mana orang ramai dan pemimpin serta ahli-ahli GPS telah hadir ke Mahkamah Tinggi Kuching dan memberikan sokongan kepada peguam negeri untuk mendapatkan kemenangan. 

“Namun, seperti apa yang telah berlaku, PETRONAS telah berhujah dan membuat permohonan mengenepikan Pesuruhjaya Kehakiman yang menghakimi kes ini sivil ini. 

“Kesannya, kes saman sivil ini telah ditunda ke suatu tarikh baru dan ianya telah pun dijangka. Bagaimanapun, saya yakin barisan peguam negeri yang mewakili Kerajaan Sarawak telah bersedia terhadap sebarang kemungkinan,” tambahnya. 

Kes saman itu ditunda pada tarikh 23 Januari depan, jam 10.30 pagi bagi mendengar permohonan pengunduran Pesuruhjaya Kehakiman yang mendengar ke tersebut.

No comments:

Post a Comment

Back To Top