Music

Header Ads

Friday, February 26, 2021

Industri Perumahan Perlu Lebih Inovatif, Pastikan Harga Rumah Mampu Milik Dan Dimiliki Masyarakat



DEMAK LAUT, Kuching: Selepas mencapai kemerdekaan, industri hartanah di Sarawak telah berkembang pesat dan memacu pembangunan negeri dan setempat.


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, pembangunan ini telah mewujudkan ketidakseimbangan di antara sosioekonomi dan penawaran hartanah sehingga menyebabkan berlakunya cabaran memiliki rumah. 


“Antara cabaran itu ialah ketidakmampuan masyarakat untuk membeli dan memiliki rumah yang mana harga pasarannya terlalu tinggi. 



“Begitu juga dengan ketidaksepadanan antara penawaran dan permintaan rumah mengikut lokasi yang dilihat mempengaruhi harga.


“Untuk itu, industri perumahan perlu lebih inovatif dengan menggunakan teknologi terkini dan teknik pembinaan yang produktif. Begitu juga dengan kaedah pemasaran yang perlu ditambah baik dengan mengaplikasikan konsep bina dan jual bagi mengelak projek terbengkalai, lambat siap dan tidak mengikut spesifikasi,” katanya.



Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas mengadakan lawatan dan penyerahan 10 buah Projek Kecil Luar Bandar-Projek Perumahan Rumah Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) di sini pada Khamis.


Antara rumah yang telah siap dibaik pulih ialah tiga buah rumah di Kampung Muhibbah, 4 buah rumah di Kampung Pinggan Jaya dan tiga buah rumah di Kampung Tanjung Bako dengan jumlah keseluruhan berjumlah RM150,000. 


Jelas Dr Hazland, menyedari keadaan itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi menangani dan mengatasi masalah harga rumah yang mahal sehingga menyebabkan kesukaran masyarakat memiliki rumah.



“Memperkenalkan Projek Rumah Spektra Permata (RSP) bagi golongan yang berpendapatan bawah RM6,000 ke bawah dan MRP-PPRMS bagi membaik pulih rumah yang memerlukan bantuan.


“Menubuhkan Mutiara Mortage and Credit Sdn Bhd yang bertujuan menyediakan pinjaman perumahan kepada golongan yang berpendapatan RM5,000 sebulan dan ke bawah. 

 

“Selain rumah perumahan, Kerajaan Sarawak turut memperkenalkan Skim Pinjaman Rumah Panjang bagi baik pulih dan bina baru rumah panjang khususnya di kawasan luar bandar,” ujarnya.



Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak turut juga menambah baik pembinaan perumahan dengan menyediakan kemudahan subsidi dengan membina sistem perparitan, lampu jalan, kemudahan air dan elektrik dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top