Music

Header Ads

Saturday, July 18, 2020

Kerjasama Erat JKKK Dan Penduduk Mampu Bawa Kepada Kesejahteraan Kampung


KUCHING: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung disaran bergandingan dan bekerjasama dengan penduduk kampung bagi menambahbaikan pengurusan sesebuah kampung.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, dengan kerjasama dan permaufakatan bersama penduduk kampung pastinya akan dapat melonjakkan lagi nama baik kampung.

“Misalnya, apabila siapnya sesuatu projek pembangunan dan boleh digunakan masyarakat kampung, suatu keputusan perlu dilakukan bagi memastikan semua masyarakat kampung menerima manfaatnya.

“Selain itu, JKKK juga perlu berfikiran secara terbuka dengan menerima setiap kritikan dalam pentadbiran dan pengurusannya supaya ianya lebih cekap dan efisien pada masa akan datang.

“Menerusi gandingan bersama JKKK dan penduduk kampung nescaya keadaan di kampung akan menjadi lebih baik dan terkawal,” katanya selepas menyampaikan Sumbangan Dana Tahunan JKKK Kampung Bako Hilir baru-baru ini.


Dr Hazland menambah, setiap ahli JKKK perlu juga memahami perancangan kerajaan di peringkat kampung.

“Di Kampung Bako Hilir, ada 4 Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sedang dan telah dilaksanakan antaranya Membina Padang Takraw bernilai RM100,000 dan Menaik Taraf Jeti Pengkalan Haji Sarjon bernilai RM160,000 di bawah Projek RTP 2019.

“Manakala, Projek RTP 2020 pula Membina Rumah Pusat Komuniti berjumlah RM100,000 dan Membina Dewan berjumlah RM500,000.

“Segala kemudahan yang diadakan di kampung ini sama ada dari segi infrastruktur mahupun ekonomi dan sosial adalah untuk kebaikan, pembangunan dan kemajuan kampung bersama,” tambahnya.


Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Bako Hilir Morni bin Rakawi ketika ditemui melahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Hazland di atas sumbangan dana tahunan kepada JKKK Kampung Bako Hilir.

“Mewakili JKKK Kampung Bako Hilir, saya mengucapkan terima kasih kepada ADUN Demak Laut Dr Hazland di atas sumbangan dana tahunan ini.

“Kami akan menggunakan sebaik-baiknya dana ini untuk keperluan penduduk kampung seperti mana yang dikehendaki,” katanya.

Hadir sama ahli Penghulu Hajah Janibah Haji Hazmi, JKKK Kampung Bako Hilir dan ahli-ahli PBB Ranting Bako Hilir.-Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top