Music

Header Ads

Thursday, February 18, 2021

Nasib Penjaja Jalanan Perlu Dibela - Dr Hazland



DEMAK LAUT, Kuching: Penularan wabak pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini telah menyebabkan ramai yang terkesan termasuklah peniaga jalanan. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, kerajaan  mengetahui dan merasai kesan ekonomi yang dihadapi peniaga jalanan dan sebab itu pelbagai inisiatif dan bantuan telah diberikan. 


“Kerajaan Sarawak telah mengumumkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) yang berjumlah RM1,500 kepada setiap penjaja jalanan pada tahun lepas. 


“Tidak cukup dengan itu, Kerajaan Sarawak juga memansuhkan kos faedah kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dengan kerjasama Maybank, Hong Leong dan RHB di bawah Dana Bantuan Khas Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM1 bilion kepada PKS tempatan. 


“Juga, memansuhkan kadar faedah dua peratus kepada sifar untuk 42 bulan di bawah Skim Mikro Kredit dan pemansuhan sewa juga dilaksanakan kepada PKS yang beroperasi di bangunan kerajaan negeri dan agensi di bawah kerajaan negeri dengan melibatkan peruntukan berjumlah RM182.12 juta,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan di tempat peniaga jalanan di Kampung Tabuan Melayu pada Khamis. 



Keprihatinan berterusan Kerajaan Sarawak terhadap penjaja turut dilihat menerusi tambahan peruntukan khas sebanyak RM750 seperti yang diumumkan dalam BKSS 2.0 menjadikan jumlah keseluruhan yang diterima penjaja sebanyak RM2,250. 


Demikian juga dengan BKSS 5.0 yang diumumkan Ketua Menteri pada Januari 2021 dengan pelanjutan pemberian diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengecualian bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu dan pengecualian bayaran sewa kepada PKS yang beroperasi di premis-premis perniagaan milik badan-badan berkanun dan syarikat milik Kerajaan Sarawak. 


Selain Kerajaan Sarawak, Kerajaan Persekutuan turut juga menyediakan bantuan kepada penjaja seperti yang diumumkan di dalam Prihatin Nasional, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI). 



Beliau turut mengulas mengenai kewajaran penjaja jalanan Kampung Tabuan Melayu ini dipindahkan ke tapak baharu. 


Katanya, perpindahan ke tapak baharu nanti yang lebih sesuai dan selesa itu adalah untuk kemudahan pelangan dan kebaikan peniaga jalanan itu sendiri. 


“Selain tapak perniagaannya yang bersih dan luas, tapak baharu itu juga membolehkan pembeli melakukan urusan jual beli dalam keadaan selesa. 


“Ini sekaligus meningkatkan kualiti dan hasil jualan dengan kehadiran orang ramai yang datang membeli,” jelasnya bagi merujuk kesan jangka panjang yang akan dihadapi peniaga jalanan di Kampung Tabuan Melayu selepas ini.

No comments:

Post a Comment

Back To Top