Music

Header Ads

Saturday, July 3, 2021

SMK Bako Teruskan Rekod Cemerlang STPM, Duduki Tempat Ketiga Terbaik Sarawak



KUCHING: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bako mencipta sejarah tersendiri apabila meneruskan kecemerlangan dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 apabila berjaya menduduki tempat ketiga daripada 11 buah sekolah terbaik di Sarawak. 


Kejayaan ini dikongsikan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni yang selama ini telah banyak memberikan perhatian dan sokongan terhadap pendidikan di kawasan DUN Demak Laut. 


“Alhamdulillah, SMK Bako sekali lagi mencipta kejayaan dan kegemilangan dalam bidang pendidikan apabila berjaya muncul 3 sekolah terbaik di kalangan 11 sekolah terbaik di Sarawak dalam STPM 2020 yang mencatat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 ke atas.


“Kejayaan ini pastinya detik manis buat pelajar, guru dan ibu bapa yang merupakan faktor penentu kepada kejayaan ini dan berusaha mencapai kejayaan dalam norma baharu akibat pandemik COVID-19. 


“Begitu juga kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)  SMK Bako yang merupakan tunjang utama kepada kejayaan yang cukup bermakna ini yang pastinya kejayaan yang cukup manis untuk diraikan bersama,” katanya ketika mengulas mengenai kejayaan SMK Bako dalam STPM 2020 pada Jumaat. 


Dalam keputusan yang dikeluarkan pada Khamis, SMK Bako menduduki tempat ketiga terbaik dalam sekolah di Sarawak apabila berjaya mencatat PNGK 3.19. 


Pendemik COVID-19 ini juga telah menyebabkan para pelajar mendapatkan keputusan STPM dengan memuat turun menerusi atas talian di rumah masing-masing. 


Sementara itu, Pengerusi PIBG SMK Bako Ali Mat Sah ketika dihubungi turut melahirkan rasa gembira atas kejayaan ini yang disifatkannya sebagai luar biasa bagi sebuah sekolah yang terletak di kawasan luar bandar.


Kejayaan ini disebabkan empat faktor utama iaitu pentadbiran sekolah dan komitmen kakitangan guru yang berdedikasi, peranan ibu bapa, inisiatif pelajar dan sokongan wakil rakyat. 


“Pentadbiran sekolah khususnya guru dan kakitangan sekolah yang sangat komited dan berdedikasi dalam memastikan keperluan pelajar khususnya latihan mata pelajaran diperbanyakkan apabila norma baharu dipratikkan menerusi pengajaran dan pembelajaran atas talian atau Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).


“Selain itu, tanggungjawab dan peranan ibu bapa semakin meningkat apabila memberikan tumpuan kepada pembelajaran anak-anak dan inisiatif pelajar itu sendiri yang mahukan kejayaan dan bercita-cita masuk ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).


“Juga, paling penting sokongan wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland yang memberikan peruntukan tahunan kepada PIBG bagi menjalankan latihan dan seterusnya meningkatkan kualiti pembelajaran,” katanya. 


Seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), peperiksaan STPM 2020 ini diadakan pada Mac 2021 lewat berbanding jadual asal disebabkan penularan pandemik COVID-19.

No comments:

Post a Comment

Back To Top