Music

Header Ads

Sunday, June 27, 2021

Program Outreach Vaksinasi DUN Demak Laut Dapat Sambutan Menggalakan, Sistematik



DEMAK LAUT, Kuching: Program Outreach Vakinasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut yang memasuki minggu ketiga telah berjalan lancar dengan sistematik dan teratur.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata sehingga kini sambutan yang diterima amat baik dan menggalakkan. 


“Penduduk yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 ini dibuat mengikut susunan kampung dan lorong serta rumah.


“Nama mereka yang akan menerima vaksin telah disiapkan awal iaitu seminggu sebelum mendapat vaksin COVID-19.


“Sehingga kini sistem yang digunakan sangat sistematik, teratur dan tiada nama yang tercicir,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Klinik Kesihatan Bako pada Sabtu. 



Ujarnya lagi, pelaksanaan Program Outreach Vaksinasi ini sangat baik kerana memudahkan penduduk dan masyarakat di kawasan luar bandar dan tidak mempunyai akses pengangkutan mendapat vaksin COVID-19.


Seramai 240 penduduk di Zon Bako telah mendapat suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Bako menjadikan jumlah keseluruhannya seramai 868 orang menerima suntikan vaksin COVID-19.


Program Outreach Vaksinasi ini juga dilaksanakan di Tanjung Embang melibatkan empat buah kampung iaitu Kampung Tiang Api, Kampung Beradek, Kampung Semilang dan Kampung Beradek Cina. 


Tambah Dr Hazland, proses pemberian vaksin turut dijalankan di PPV sedia ada seperti di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS). 


“Selain Zon Bako dan Zon Semilang Beradek yang menggunakan kaedah Program Outreach Vaksinasi, tiga zon lagi iaitu Zon Gobelit, Zon Tabuan dan Zon Tanjong Bako dilaksanakan di PPV sedia ada.


“Zon Goebilt yang merangkumi Kampung Goebilt, Kampung Senari, Kampung Sejingkat dan Taman Sepakat Jaya mendapat vaksinasi di BCCK. Ini termasuk juga Zon Tabuan merangkumi Kampung Tabuan Melayu dan Kampung Tabuan Haji Drahman. 


“Manakala, Zon Tanjong Bako melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Tanjong Bako, Pinggan Jaya dan Muhibbah mendapat vaksinasi di UNIMAS,” tambahnya. 



Bagi penduduk yang bekerja di sektor industri di Samajaya, mereka akan mendapat vaksinasi di PPV Industri di Samajaya yang telah dirasmikan Ketua Menteri Sarawak baru-baru ini. 


Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat sabar menunggu giliran mendapatkan vaksin dan bersedia sekiranya dipanggil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi mencapai Imuniti Kelompok pada bulan Ogos nanti bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima.

No comments:

Post a Comment

Back To Top