Music

Header Ads

Wednesday, June 23, 2021

Patuhi Arahan Dan SOP, Elak PKPD Dilanjutkan


DEMAK LAUT, Kuching: Penduduk di Kampung Muara Tebas yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) diingatkan mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, kerjasama ini penting dalam usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19. di kampung tersebut. 


“Terus patuhi arahan petugas KKM dari semasa ke semasa. 


“Beri kerjasama untuk terus ikut SOP sepanjang dua minggu dikenakan PKPD. 


“Ini bagi mengelak PKPD dilanjutkan untuk tempoh yang panjang,” katanya semasa ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan ke Kampung Muara Tebas pada Selasa. 


Kampung Muara Tebas yang mempunyai 1,842 penduduk telah dikenakan PKPD bermula 16 Jun hingga 29 Jun 2021 dan sebanyak 315 sampel ujian calitan COVID-19 telah diambil pada 18 dan 19 Jun lepas. 


Sehingga kini Kluster Muara Tebas mempunyai 19 kes. 



Pada kesempatan itu, Dr Hazland turut mengucapkan terima kasih kepada petugas barisan hadapan dan agensi kerajaan dalam membantu menguruskan kawalan PKPD di Kampung Muara Tebas. 


“Terima kasih kepada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pelbagai agensi dan jabatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Muara Tebas, Jabatan Kerja Raya (JKR), Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBLAB), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Pejabat Pusat Parlimen Santubong dan Pusat Khidmat N5 Demak Laut. 


“Dengan bantuan daripada petugas barisan hadapan ini membolehkan kawalan PKPD di Kampung Muara Tebas berjalan lancar,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top