Music

Header Ads

Saturday, July 11, 2020

Politik Pembangunan Agenda Berterusan Kerajaan Sarawak Kepada Rakyat


Politik Pembangunan Agenda Berterusan Kerajaan Sarawak Kepada Rakyat

KUCHING: Kerajaan Sarawak tetap meneruskan agenda politik pembangunan sejajar dengan kehendak dan keperluan masyarakat di negeri ini sejak dahulu lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata Sarawak masih memerlukan pembangunan dalam usaha mencapai negeri maju 2030. 

“Agenda politik pembangunan yang pernah dibawa bekas Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud diteruskan bagi kesinambungan pembangunan Sarawak dalam konteks yang berbeza sejajar dengan perubahan masa. 

“Dengan mengekalkan kestabilan politik yang menjadi agenda utama, pembangunan insfrastuktur dan modal insan perlu seiring bagi memastikan hasrat Sarawak menjadi negeri maju pada 2030 tercapai. 

“Untuk itu, Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) tekad membawa pembangunan yang sangat diperlukan rakyat di negeri ini untuk kemakmuran masyarakat bersama,” katanya dalam Dialog Isu-Isu Kampung dan Persiapan Pilihan Raya Kampung Tanjong Bako pada Jumaat.


Dalam perkembangan yang sama, Dr Hazland menjelaskan beberapa projek pembangunan telah dicadangkan di Kampung Tanjung Bako dan sekitarnya bagi meningkatkan sosioekonomi penduduk.

“Kita telah merancang beberapa projek pembangunan jangka panjang seperti perumahan, jalan raya dan jambatan untuk keperluan masyarakat Kampung Tanjung Bako dalam menikmati kehidupan yang lebih baik.

“Pada tahun ini juga, beberapa Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Demak Laut akan dilaksanakan seperti pembinaan gerai penjaja dan rumah komuniti yang boleh digunakan untuk membangunan sosioekonomi masyarakat setempat.

“Dan, kita juga akan meneruskan beberapa lagi projek pembangunan lain di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut,” tambahnya. 


Antara yang hadir terdiri Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Bako, ahli-ahli Ranting PBB Tanjung Bako, SABERKAS, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), AJK Masjid, ahli Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT). -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top