Music

Header Ads

Sunday, July 12, 2020

Pemimpin Disegani Bukan Sahaja Punyai Ciri Kepimpinan, Tetapi Boleh Menerima Pendapat Orang Lain Dan Bekerjasama Dengan Semua Pihak - Dr Hazland


KUCHING: Kepimpinan yang berkesan ialah mereka yang mempunyai aspirasi dan visi di samping dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik seperti yang diamanahkan. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, untuk menjadi seorang pemimpin yang disegani, seseorang itu bukan sahaja mempunyai ciri-ciri kepimpinan, tetapi juga boleh menerima pendapat orang lain dan bekerjasama baik dengan semua masyarakat. 

“Di peringkat kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) adalah entiti tertinggi dengan Penghulu atau Ketua Kaum mempunyai ‘kuasa’ dalam membuat keputusan. 


“Di peringkat kampung juga, mempunyai pelbagai organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) seperti Ranting PBB, PIBG, SABERKAS, RELA, KRT dan sebagainya yang bertujuan untuk membangunkan kampung dan menjaga ketenteraman awam.

“Untuk itu, setiap ahli di dalam organisasi tersebut sama ada ketua atau ahli-ahlinya perlu memainkan peranan dan tanggungjawab yang diamanahkan demi kepentingan masyarakat setempat,” katanya dalam Dialog Isu-Isu Kampung dan Persiapan Pilihan Raya Kampung Muara Tebas pada Sabtu.


Dalam dialog itu juga, Dr Hazland turut mengingatkan setiap pemimpin organisasi supaya terus menyokong Kerajaan Sarawak yang dipimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Lihatlah apa yang telah dilakukan Kerajaan Sarawak yang terus memberikan pembangunan yang diperlukan rakyat serta memastikan kebajikan rakyat dipelihara,” ujarnya. 

Antara mereka yang hadir dalam dialog itu terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ranting PBB Muara Tebas, Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Muara Tebas, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Muara Tebas, Jawatankuasa Pengurusan Masjid, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT). -Buletin Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top