KUCHING: Kerajaan sangat prihatin ke atas keperluan rakyat terutamanya para nelayan bagi meningkatkan sosioekonomi mereka.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah membina kemudahan kilang ais bagi membolehkan hasil laut dapat disimpan dengan lebih lama.
“Kilang ais ini akan siap dalam masa dua bulan lagi dan ketika ini kerja-kerja pembinaan sedang dilaksanakan.
“Siapnya kilang ini akan memudahkan nelayan-nelayan di kawasan Demak Laut dan sekitarnya menyimpan stok ikan bagi tujuan penjualan dalam negeri atau dieksport,” katanya selepas mengadakan lawatan ke kilang ais di Depot Perikanan LKIM Tanjung Bako pada Khamis.
Depot Perikanan LKIM Tanjung Bako terletak di hujung Kampung Tanjung Bako menempatkan pelbagai jenis kemudahan untuk para nelayan mendarat, menjual dan menyimpan hasil laut.
Dalam lawatan itu juga, Dr Hazland telah diberikan taklimat berkenaan kerja-kerja pembinaan kilang ais selain melihat sendiri kerja-kerja harian yang dilakukan di Depot Perikanan LKIM ini. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment