DEMAK LAUT, Kuching: Sejak menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut pada 2011, banyak kampung tidak mempunyai tempat untuk mengadakan perjumpaan atau perbincangan seperti sebuah Pejabat Kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dr Hazland Abang Hipni berkata, untuk itu beliau telah menubuhkan beberapa Pusat Pembangunan Komuniti yang boleh digunasama oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Saberkas, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Rela dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) lain untuk mengadakan pertemuan.
“Di dalam Pusat Pembangunan Komuniti ini dilengkapkan dengan kemudahan asas dan maklumat penting mengenai demografi kampung, aktiviti kampung dan sebagainya.
“Pada tahun ini, saya akan membina 5 buah Pusat Pembangunan Komuniti di beberapa buah kampung dalam DUN Demak Laut menerusi Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Kos bagi setiap Pusat Pembangunan Komuniti ini berjumlah RM100,000,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak Digital Community Centre di Kampung Sejingkat Hilir pada Ahad.
Dr Hazland menambah, cadangan Kerajaan Sarawak menerusi Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Pustaka Negeri Sarawak menubuhkan Digital Community Centre sangat dialu-alukan dan dicadangkan menggunakan Pusat Pembangunan Komuniti yang sedia ada dan akan diadakan nanti di DUN Demak Laut.
“Kerajaan Sarawak boleh menggunakan Pusat Pembangunan Komuniti yang sedia ada dan akan dibina di beberapa buah kampung sebagai Digital Community Centre.
“Selain kemudahan yang sedia ada, Kerajaan Sarawak perlu memasang talian internet, komputer dan beberapa kemudahan lain yang diperlukan bagi kemudahan penduduk.
“Di sini, cadangan mewujudkan Digital Community Centre akan dapat dijimatkan dengan adanya kemudahan sedia ada dan hanya menambah keperluan lain yang diperlukan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengajukan permasalahan talian internet yang perlu diatasi bagi membolehkan Digital Community Centre ini dapat dilaksanakan berdasarkan aspirasi Kerajaan Sarawak.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Transformasi Prestasi dan Penyampaian Perkhidmatan Datu Dr Sabariah Putit, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Dr Rashidah Bolhassan, Profesor Ir. Dr. Al Khalid bin Haji Othman dan pegawai dan staf Pustaka Negeri Sarawak. -Buletin Demak Laut
No comments:
Post a Comment