KUCHING: Penganjuran Program Bicara Ilmu ‘Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone’ di Kampung Bako Hulu ini amat bertepatan kerana di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut mempunyai banyak tempat menarik yang boleh diketengahkan khususnya dalam meningkatkan ekonomi pelancongan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, salah satu tempat pelancongan yang sangat terkenal di dunia ialah Taman Negara Bako yang terkenal dengan keindahan hidupan flora dan fauna yang boleh dipromosikan sebagai tempat tumpuan utama pelancong dalam dan luar negara.
“Kami di Bako mempunyai banyak produk pelancongan yang boleh kita pasarkan menerusi telefon pintar iaitu Taman Negara Bako, Pulau Lakir, Sungai Bako yang mempunyai hidupan liar seperti buaya yang dijadikan tarikan pelancongan dan industri ‘Crocodile Watching’ yang semakin mendapat tempat di kalangan pelancong.
“Begitu juga dengan kampung-kampung nelayan seperti Kampung Bako yang berusia 150 tahun dengan jumlah rumah seribu lebih dan penduduknya kira-kira 6,000 lebih orang.
“Asal Demak Laut hanya dengan dua buah kampung iaitu Kampung Muara Tebas dan Kampung Jernang yang kini hanya tinggal lama selepas mengalami pembangunan yang berusia 500 tahun,” katanya semasa berucap pada Program Bicara Ilmu ‘Jana Pendapatan Dengan Aplikasi Smartphone’ di Kampung Bako Hulu pada Sabtu.
Terdahulu, Dr Hazland bersama dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar dan beberapa ketua-ketua jabatan di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi telah melawat Tapak Pemprosesan Belacan di Kampung Bako Hulu.
No comments:
Post a Comment