Music

Header Ads

Tuesday, September 11, 2018

Sanggup Kelirukan Rakyat Demi Pertahan Sekutu Politik


KUCHING - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni menyelar kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak Chong Chieng Jen berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah Sarawak.

Menurut Dr Hazland, kenyataan Chong tersebut dilihat sebagai cuba mengelirukan rakyat Sarawak demi mempertahankan sekutu politiknya dari Semenanjung Malaysia.

“Beberapa pemimpin politik Gabungan Parti Sarawak (GSP) tersinggung dengan kenyataan tidak bijak Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik berhubung penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah Sarawak.

“Meskipun Akta Pendidikan telah diluluskan dan disokong oleh Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dari Sarawak pada ketika itu, ia tidak bermaksud bahawa akta tersebut terpakai di Sarawak melainkan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Chong adalah terlatih dalam soal perundangan dan beliau tidak harus cuba mengelirukan rakyat dengan memanipulasi fakta sebenar,” ujar Dr Hazland yang juga pemimpin GPS dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Tambah Dr Hazland, Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna cuba bermain helah politik lama dengan mempertahankan sekutu politiknya di Semenanjung Malaysia.

Walhal katanya, Chong tahu bahawa Maszlee tidak tahu akan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Suruhanjaya Cobbold serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 yang menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa rasmi adalah tidak berkuat kuasa di Malaysia Timur kerana ordinan tersebut tidak diluluskan dalam DUN Sarawak.

“Saya menggesa Chong menjelaskan sama ada beliau faham bahawa Laporan IGC adalah sebahagian daripada MA63.

“Dengan membuat kenyataan tersebut, Chong cuba menghina dan menafikan hak-hak Sarawak dalam pendidikan serta penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran,” katanya sambil menambah, apa yang dibuat oleh Chong ketika ini menunjukkan Pakatan Harapan tidak komited dan memilih dalam melaksanakan manifesto mereka. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top