Music

Header Ads

Sunday, April 14, 2019

Pelajar IPT Perlu Tingkatkan Kemahiran Diri Untuk Beri Perkhidmatan Terbaik Kepada Rakyat


KUCHING: Pelajar di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) perlu meningkatkan pelbagai kemahiran diri agar dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dalam kenyataannya berkata program "Rawat Alam" ini merupakan salah satu metod pembelajaran berasaskan komuniti dalam Program Doktor Perubatan UNIMAS.

"Program ini diolah mengikut garis panduan keperluan amalan pembelajaran yang berimpak tinggi (high-impact educational practices).

"Dalam hal ini, pelajar universiti berpeluang meningkatkan pelbagai kemahiran seperti kemahiran komunikasi, menyelesaikan masalah, membuat keputusan, kepimpinan, kerja berkumpulan, pemikiran kritis dan adab bekerjasama dengan pensyarah, rakan sebaya dan pelbagai agensi luar.

"Melalui proses ini, pelajar akan lebih memahami diri sendiri, empati dan memahami orang lain. 

"Kemahiran dan nilai seawal pengajian (pre-klinikal) agar mereka dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat pada masa akan datang," katanya. 

Majlis Perasmian Program "Rawat Alam" dan Penyampaian Hadiah Nature Run 1.0 telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni pagi ini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan Dato' Ahmad bin Datuk Sri Ibrahim, Dekan Fakulti Alam Bina UNIMAS Prof Nurakamal Abdullah Goh, Ketua Jabatan Perubatan Komuniti dan Kesihatan Awam UNIMAS, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako Ishak Hj Dahlan, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Tanjong Bako dan Ketua Kaum Tanjong Bako Rajidin Narawi.

Seramai lebih kurang 200 orang pelajar dari tiga fakulti UNIMAS antaranya Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) dan Fakulti Alam Bina (FAB), 31 buah keluarga angkat, warga kampung Tanjong Bako, warga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Bako dan staf Majlis Perbandaran Padawan terlibat dalam Program Pembersihan Kampung, Projek Kitar Semula dan Lukisan Mural di sekolah.

Sementara itu, seramai 540 pelari antarabangsa dan tempatan telah mengambil bahagian dalam acara Nature Run 1.0 dalam tiga kategori iaitu 21km, 10km dan 5km, pagi ini. 

"Menariknya, bagi kategori 5km ianya bersifat larian plogging iaitu berlari sambil mengutip sampah yang bertujuan dapat meningkatkan tahap kesedaran dan tingkah laku pro-alam (pro-environmental).

"Dengan mendaftarkan program ini dalam jaringan organisasi antarabangsa Let's Do It: https://letdoitworld.org/country/malaysia/ kami yakin program seumpama ini menjadi platform program intervensi pro-alam yang juga boleh mengetengahkan Kampung Tanjong Bako kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa.

"Program Pembelajaran Berasaskan Komuniti yang telah bermula sejak bulan Mac 2018 ini telah mendapat dan sejumlah RM20,000 dari Dr Hazland Abang Hipni," jelasnya. 

Pada majlis itu, Dr Hazland telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM14,200 kepada Masjid Darul Ibadah Kampung Tanjong Bako yang merupakan sumbangan daripada beliau dan TYT DiPertua Negeri Sarawak Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top