Music

Header Ads

Tuesday, April 23, 2019

RM760 Ribu Diperuntukan Bagi Laksana Projek Pembangunan Di Taman Sepakat Jaya


KUCHING: Rakyat di Taman Sepakat Jaya melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni di atas kelulusan peruntukan projek pembangunan di Taman Sepakat Jaya.

Peruntukan yang diluluskan ini merupakan di bawah Projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN Demak Laut.

Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ranting Taman Sepakat Jaya Hassan bin Eli berkata kelulusan peruntukan ini membuktikan ADUN Demak Laut sentiasa mendahulukan keperluan rakyat dan adil kepada setiap kampung dan ranting di kawasan DUN Demak Laut.

"Mewakili penduduk Taman Sepakat Jaya, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr Hazland di atas kelulusan peruntukan projek pembangunan ini. 

"Antara projek yang telah diluluskan ADUN Demak Laut di Taman Sepakat Jaya ialah Naik Taraf Surau bernilai RM50 ribu, Membina Rumah Pusat Komuniti RM100 ribu, Bina Baru Padang Takraw RM100 ribu, Membina Penutup Parit dan Longkang RM310,000 dan Baik Pulih Dewan RM200 ribu dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM760 ribu. 

"Kami menyambut baik projek ini dan mengharapkan selepas ini penduduk boleh menikmati pembangunan infrastruktur yang selesa," katanya semasa ditemui selepas menghadiri Taklimat Isu-Isu Semasa Politik Sarawak, Pelancaran GPS PBB Taman Sepakat Jaya dan Penyampaian Sumbangan Kepada Golongan Asnaf Taman Sepakat Jaya di sini, semalam.

Mengenai sumbangan kepada golongan asnaf, Hassan turut bersyukur kerana golongan asnaf di Taman Sepakat Jaya turut menerima sumbangan daripada ADUN Demak Laut.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, ini merupakan aktiviti tahunan Dr Hazland di Taman Sepakat Jaya dan DUN Demak Laut.

"Tujuannya hanya satu, untuk memastikan setiap golongan asnaf sama ada warga emas, ibu tunggal, anak-anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) mempunyai rekod kebajikan di Pusat Khidmat DUN Demak Laut untuk menerima sumbangan jika diperlukan," tambahnya. 

Mengenai Taklimat Isu-Isu Politik Semasa Sarawak yang disampaikan ADUN Demak Laut, Hassan menjelaskan inisiatif ini sangat baik khasnya dalam memberikan penerangan berkaitan isu semasa yang menjadi persoalan rakyat selain menyentuh permasalahan penduduk setempat.

"Sambutan yang diterima penduduk khasnya dalam menyampaikan permasalahan setempat kepada ADUN Demak Laut membuktikan kaedah interaksi dua hala ini adalah suatu pendekatan yang baik. 

"Malah, kesudian Dr Hazland menjawab setiap pertanyaan dan permasalahan penduduk amat dihargai penduduk.


"Begitu juga dengan penyampaian Isu-Isu Politik Semasa Sarawak berkenaan dengan landskap politik, Perjanjian Malaysia 1963, hasil minyak dan gas Sarawak, 63 Inisiatif Team Abang Jo dan sebagainya yang ternyata telah membuka mata banyak pihak dengan apa yang dilakukan Kerajaan Sarawak ketika ini," ujarnya. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top