Music

Header Ads

Saturday, March 6, 2021

Kawasan Luar Bandar Tidak Dipinggir, Lebih 50,000 Penduduk DUN Demak Laut Nikmati Manfaat Pembangunan Terancang



DEMAK LAUT, Kuching: Sejak dari dahulu lagi kawasan luar bandar di Sarawak tidak pernah dipinggir mahupun diabaikan. 


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata, ini dapat dilihat menerusi pelbagai inisiatif dan tindakan yang telah dilakukan Kerajaan Sarawak dengan mengambil contoh pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut. 


“Sehingga hari ini, lebih 50,000 penduduk di kawasan DUN Demak Laut telah menikmati manfaat pembangunan infrastruktur yang terancang seperti jalan raya, bekalan air, bekalan elektrik, sekolah, klinik, kawasan perumahan baru, jambatan, kemudahan rekreasi dan peluang menjana ekonomi. 


“Jambatan Bako yang siap pada 2018 telah memberi manfaat besar kepada penduduk Bako dan sekitarnya manakala, Jambatan Tanjung Bako - Sejingkat pula kini dalam proses pembinaan.


“Tidak cukup dengan itu, tiga Projek Perumahan Rumah Spektra di Muara Tebas, Muara Tabuan dan Sejingkat yang telah diluluskan Kerajaan Sarawak untuk keperluan rakyat kini sedang dalam proses pelaksanaan. 


“Kemudahan riadah seperti gelanggang futsal, sepak takraw dan padang bola sepak turut disediakan serta cadangan Pembinaan Medan Selera Bako dan Gerai di kampung-kampung akan dilaksanakan dalam Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) 2021,” katanya. 



Beliau berkata demikian selepas menyaksikan penyerahan Projek Bina Jalan Lot Baru Kampung Muara Tebas yang berjumlah RM300,000 di sini pada Khamis. 


Projek tersebut kini telah pun siap 50 peratus bermula pada 7 Januari lepas yang mengambil masa 12 minggu dan dijangka siap pada 31 Mac 2021. 


Mengulas lanjut, Dr Hazland menjelaskan dalam tempoh sepuluh tahun ini, telah banyak perubahan positif telah dilaksanakan di DUN Demak Laut menerusi pembaikan dan naik taraf infrastuktur demi keselesaan dan kesejahteraan penduduk.


“Semua pembangunan ini adalah untuk rakyat dan mahu setiap rakyat menggunakan peluang untuk meningkatkan taraf hidup dan sosioekonomi penduduk. 



“Inilah hasrat Kerajaan Sarawak yang mahukan penduduk di kawasan luar bandar turut menikmati pembangunan secara saksama seperti di kawasan bandar supaya jurang pembangunan dapat dikurangkan” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top