Music

Header Ads

Friday, January 29, 2021

Usaha Menangani Krisis Perlukan Kerjasama Semua Pihak - Dr Hazland


DEMAK LAUT, Kuching: Negara hari ini sedang menghadapi tiga krisis utama yang membelenggu kehidupan rakyat. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, tiga krisis tersebut ialah kesihatan, ekonomi dan alam sekitar, dan kerajaan kini sedang berusaha menangani krisis tersebut mengikut kemampuan sedia ada. 


“Sehingga hari ini (Khamis), Malaysia telah mencatat 198,208 kes positif COVID-19 dan 717 kematian sejak wabak itu mula dikesan pada Januari 2020. 



“Lebih memburukkan lagi keadaan, penularan wabak pandemik COVID-19 itu turut memberi kesan negatif kepada ekonomi penduduk dan negara apabila pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau ‘Lokcdown’ dilaksanakan.


“Sejak setahun lalu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak telah menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat yang terjejas akibat COVID-19. Ini termasuklah 2 Pakej Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dari Kerajaan Persekutuan dan 5 Pakej Sarawakku Sayang dari Kerajaan Sarawak,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai situasi semasa pandemik COVID-19 selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Tabuan Dani pada Khamis. 


Justeru, kerjasama semua pihak sangat diperlukan untuk pastikan setiap usaha kerajaan dalam mengurus tadbir waktu krisis ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. 


Sementara itu, krisis alam sekitar seperti fenomena air pasang besar dan hujan lebat hingga menyebabkan berlakunya banjir turut mendapat perhatian Dr Hazland. 



“Baru-baru ini, beberapa kawasan termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah mengalami banjir dan menyebabkan kerugian harta benda. 


“Kejadian banjir besar ini jarang berlaku dan sememangnya di luar dugaan sehingga ada yang tidak sempat membuat sebarang persiapan banjir. 


“Untuk itu, telah disampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang bertujuan meringankan beban penduduk,” jelasnya. 



Sehubungan itu, penduduk yang terkesan dengan kejadian banjir tempoh hari dan memerlukan bantuan boleh menghantar pesanan ringkas di nombor 017-8585007 untuk tindakan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top