Music

Header Ads

Wednesday, January 27, 2021

Agensi Kerajaan Berperanan Penting Pastikan Projek RTP Dilaksana Dan Disiapkan Dengan Sebaiknya



DEMAK LAUT, Kuching: Setiap agensi kerajaan yang bertindak sebagai pelaksana perlu memastikan projek pembangunan yang dilaksanakan di setiap kawasan mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya. 


Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, ini bertujuan memastikan setiap projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan agar dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat. 


"Setiap projek kerajaan adalah amat penting dalam usaha untuk membangunkan kemudahan fizikal dalam sesuatu kawasan itu. 



"Ini termasuklah proses lawatan tapak projek, penyiapan BQ, proses tender atau cabutan undi, penganugerahan projek, pemantauan projek, penyelesaian isu-isu projek, penyerahan projek dan pembayaran projek semuanya perlu disusun atur dan dikoordinasikan dengan betul dan baik. 


"Jika ianya dilaksanakan mengikut aturan yang ditetapkan pastinya projek itu dapat disiapkan dengan sempurna dan sekaligus memberikan manfaat kepada masyarakat serta agensi pelaksana itu sendiri," katanya. 


Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menyaksikan Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Gelangang Takraw Kampung Bako Hilir pada Selasa. 



Kesempatan itu, Dr Hazland turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang telah menjalankan tugas dengan baik bagi memastikan setiap projek pembangunan RTP di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dilaksanakan dengan baik dan sempurna. 


"Semua projek RTP di kawasan DUN Demak Laut diuruskan sepenuhnya oleh agensi kerajaan. 


"Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Residen/Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) dan Majlis Perbandaran Padawan (MPP) yang telah melaksanakan projek-projek pembangunan di bawah RTP dengan baik sekali sejak 2015 dengan jayanya walaupun kadang-kadang terpaksa mengharungi pelbagai rintangan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top