KUCHING, 20 Ogos - Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah menyediakan kaunter aduan bantuan yang membolehkan penduduk-penduduk di kawasan DUN Demak Laut mengemukakan permasalahan berhubung dengan bantuan atau keperluan di kawasan kampung mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni berkata buat permulaan ini kita membuka kaunter aduan bantuan di Kampung Tabuan Tengah ini bagi membolehkan penduduk di kampung ini memberikan maklumat yang diperlukan sekiranya mereka tidak menerima atau mendapat bantuan daripada jabatan atau agensi kerajaan.
"Penduduk yang mempunyai masalah berhubung dengan penerimaan atau pemberian bantuan daripada jabatan atau agensi kerajaan sebelum ini boleh mengemukakan aduan kepada bebarapa staf Pusat Khidmat DUN Demak Laut di kaunter yang disediakan.
"Saya tidak mahu melihat ada di antara penduduk yang tercicir dalam mendapatkan bantuan sekiranya mereka benar-benar layak dan memerlukan bantuan. Ini termasuklah warga emas, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU) dan anak-anak yatim.
"Gunakanlah peluang ini dengan memberitahu apa sahaja bantuan dan keperluan yang diperlukan. Bagaimanapun, tidak semua bantuan ini layak untuk diterima semua orang. Bantuan sebegini hanya untuk mereka yang tergolong dalam kategori mereka yang berpendapatan rendah sahaja dan memenuhi kreteria yang telah ditetapkan jabatan atau agensi kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim dan Pelajar-Pelajar Berjaya Melanjutkan Pengajian Di Institut Pengajian Tinggi di Surau Darul Salihin, di sini, Sabtu lepas.
Mengulas lanjut mengenai pembukaan kaunter aduan bantuan itu, Dr Hazland memberitahu bahawa beliau tidak mahu melihat penduduk yang kurang berkemampuan dan layak menerima bantuan, tetapi tidak dapat bantuan adalah wajar dibantu.
"Saya sendiri akan berhubung dengan jabatan atau agensi kerajaan yang terbabit sekiranya ada permohonan daripada penduduk yang tidak diluluskan.
"Ini penting bagi mengenal pasti apakah punca dan sebab mengapa permohonan ini ditolak agar penduduk yang terlibat faham mengenai kriteria bantuan yang ditawarkan kerajaan.
"Manakala, jika ada maklumat yang diperlukan tercicir yang mana mereka ini sepatutnya dapat menerima bantuan, kita akan perjuangkan untuk dapatkan jalan penyelesaian sekaligus memperoleh bantuan yang diperlukan," katanya.
Terdahulu, Dr Hazland telah menyampaikan bantuan kepada 128 penerima yang terdiri daripada 122 orang warga emas, 24 ibu tunggal, 20 OKU, 16 anak-anak yatim dan 4 orang pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di IPT dari Kampung Tabuan Tengah.
Turut hadir Penghulu Haji Jas bin Said, bekas Ketua Kaum Tabuan Tengah Haji Alan Haji Sahari Ketua Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah Hamzah bin Dollah, Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Tabuan Tengah, Ketua Pemuda Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah dan ahli-ahli Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah.
No comments:
Post a Comment