Music

Header Ads

Monday, August 20, 2018

Sumbangan Insentif Pendidikan DUN Demak Laut Berjaya Tingkatkan Bilangan Pelajar Memasuki IPT Setiap Tahun


KUCHING - Selepas 6 tahun mengadakan program memberi sumbangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, bilangannya semakin bertambah setiap tahun.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland bin Abang Hipni, peningkatan bilangan jumlah pelajar yang melanjutkan pengajian di IPT di kawasan DUN Demak Laut sejak kebelakangan ini menunjukkan suatu perkembangan positif dan baik kepada diri, keluarga dan kampung.
"Sejak pelaksanaan pemberian insentif sumbangan kepada pelajar-pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT 6 tahun lepas, hasilnya kita telah berjaya menghasilkan ramai graduan dari kawasan DUN Demak Laut.
"Kita telah mula mengadakan program ini sejak tahun 2012 lagi. Waktu itu, hanya 30 orang sahaja pelajar-pelajar di kawasan DUN Demak Laut yang memasuki universiti.
"Bagaimanapun, selepas kita memfokuskan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pembangunan sekolah serta mengadakan beberapa program pendidikan, kita telah berjaya meningkatkan jumlah mereka yang memasuki universiti setiap tahun.
"Ketika ini jumlah mereka yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT berjumlah seratus lebih orang," katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Sumbangan Kepada Warga Emas, Ibu Tunggal, Orang Kurang Upaya, Anak Yatim dan Pelajar-Pelajar Berjaya Melanjutkan Pengajian di Institut Pengajian Tinggi di Surau Darul Salihin, di sini, Sabtu lepas.
Dalam perkembangan yang sama, Dr Hazland telah meminta setiap ketua masyarakat di kawasan DUN Demak Laut mempunyai dan memiliki profil kampung masing-masing bagi mengetahui keperluan lain yang diperlukan pada masa akan datang.
"Misalnya, di DUN Demak Laut kita ada mempunyai 28 buah kampung. Penduduknya pula berjumlah kira-kira 55,000 orang dan pengundi yang berdaftar berjumlah kira-kira 14,000 orang. Jumlah ini pasti akan meningkat setiap tahun.
"Manakala, di Kampung Tabuan Melayu penduduknya adalah sekitar 14,000 orang dan rumah pula hampir 1,000 buah. 
"Di Kampung Tabuan Tengah sahaja, penduduknya hampir 1,000 orang dengan pengundi berdaftar seramai 680 orang. Jumlah rumah pula sebanyak 178 buah.
"Ini adalah data-data yang perlu ada dan mesti dimiliki oleh setiap ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Ini dipanggil profil kampung," ujarnya.
Apabila setiap kampung mempunyai maklumat seperti profil kampung, ini akan membolehkan pihak Pusat Khidmat DUN Demak Laut menguruskan keperluan pembangunan dan bantuan yang diperlukan di setiap kampung.
Selain itu, perancangan projek yang diperlukan akan dapat dilaksanakan jika setiap kampung mempunyai maklumat-maklumat penduduk dan kemudahan awam berkaitan.

Turut hadir Penghulu Haji Jas bin Said, bekas Ketua Kaum Tabuan Tengah Haji Alan Haji Sahari Ketua Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah Hamzah bin Dollah, Ketua Wanita PBB Ranting Kampung Tabuan Tengah, Ketua Pemuda Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah dan ahli-ahli Ranting PBB Kampung Tabuan Tengah. 

No comments:

Post a Comment

Back To Top