Music

Header Ads

Wednesday, November 28, 2018

‘Menyantuni Umat’ Membawa Kebaikan Kepada Rakyat – Dr Hazland


KUCHING, 26 November - Tema sambutan Maulidur Rasul 1440H ‘Menyantuni Umat Membawa Rahmat’ pada tahun ini harus dilihat dalam konteks kewajipan pemimpin dalam membantu rakyat. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata menyantuni bermaksud mengasihi, membantu dan menyokong rakyat dalam apa jua keadaan seperti yang dilakunya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut ketika ini. 

“Menyantuni membawa maksud kasih sayang, menyokong dan memberi bantuan kepada umat. Apabila kita mengasihi umat, rakyat dan masyarakat di kampung, Insha Allah rahmat akan datang.

“Ini dapat kita lihat dengan adanya lampu jalan, pembinaan sistem perparitan, pembinaan dewan, perumahan baru dan Jambatan Bako. 

“Begitu juga dengan perancangan pemimpin dalam membangunkan kawasan seperti Feri Kampung Beradik-Semilang, projek-projek pembangunan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Penutupan Karnival Salam Rasul di Masjid Darul Ikhwan Muara Tebas di sini, semalam.

Terdahulu, Dr Hazland telah mengetuai perarakan Maulidur Rasul yang disertai 300 orang peserta yang terdiri daripada empat kawasan Kejiranan Mesra (KJM) Kampung Muara Tebas, Kampung Sejingkat, Kampung Senari dan Kampung Bako Hulu serta penduduk-penduduk kampung. 

Sementara itu, Dr Hazland menjelaskan kehadiran junjungan besar Rasulullah S.A.W adalah hadiah dan rahmat daripada Allah S.W.T kepada umat Islam di dunia ini. 

“Ini adalah satu perkara yang tidak dapat kita sangkal bahkan pihak daripada negara-negara Barat tabik hormat kepada baginda Rasulullah S.A.W.

“Semua ini terkandung di dalam sebuah buku yang bertajuk ‘100 Most Influential World Leaders Of All Time’ di mana mereka meletakkan Nabi Muhamad S.A.W di kedudukan teratas dalam senarai pemimpin yang berpengaruh.

“Itulah kehebatan Rasulullah S.A.W,” tambahnya.

Menyentuh mengenai permasalahan yang berlaku ke atas manusia yang banyak terlibat dalam gejala sosial dan jenayah, Dr Hazland memberitahu ianya berpunca daripada terputusnya hubungan manusia dengan kerohanian Rasulullah S.A.W.

“Ramai yang masih bersifat negatif, ramai yang masih bersifat fasik dan ramai yang masih keras hati. Ini disebabkan kerohaniannya terlalu jauh.

“Justeru, satu cara terbaik dan termudah dalam mengisi jiwa yang kosong adalah dengan berselawat.

“Ini dapat kita laksanakan dengan berselawat ada banyak cara seperti 100 kali selepas kita solat, berselawat 20 kali sebelum dan selepas tidur serta berselawat menerusi qasidah dan nasyid.
“Dengan cara ini, kita mendapat rahmat dan syafaat daripada Nabi Muhamad S.A.W. Hati kita akan menjadi jernih, hati kita lebih terang, hati kita menjadi lebih lembut dan iman kita akan meningkat dan menyayangi semua umat-umat kita di kampung dan kawasan sekitar,” katanya.

Dr Hazland juga meminta setiap masjid di kawasan DUN Demak Laut menubuhkan biro ‘Rakan Masjid’ dalam usaha menarik lebih ramai belia dan pemuda datang ke majlis ilmu di masjid.

“Beberapa buah kampung di kawasan kita (DUN Demak Laut) telah menubuhkan ‘Rakan Masjid’.

“Carilah pemimpin muda atau imam muda yang akan memimpin dan mengetuai belia-belia untuk hadir dan datang ke program atau aktiviti anjuran masjid,” ujarnya.

Dr Hazland turut mencadangkan ‘Dakwah Jalanan’ ataupun ‘Street Dakwah’ di kawasan DUN Demak Laut. 

“Sasaran kita adalah belia dan pemuda mahupun warga emas yang tidak datang ke masjid dan melepak di hujung-hujung simpang. 

“Kita kena ubah strategi dan turun padang dengan menggunakan motosikal dan basikal turun ke jalan-jalan dan kampung-kampung untuk berjumpa dengan mereka.

“Mereka ini memerlukan perhatian yang tidak cukup di rumah. Mereka keluar rumah dan cuba mendapatkan perhatian daripada rakan-rakan.

“Saya yakin dan percaya, kita mempunyai imam dan ustaz muda. Misalnya, di Kampung Tabuan Melayu yang mempunyai tiga orang ustaz muda yang berumur 20an dan 30an dan kita bawa sekali untuk program Dakwah Jalanan,” katanya.

Di Kampung Senari, kita telah ada seorang ustaz yang berstatus di peringkat nasional yang dikenali Ustaz Muhadir Hj Joll dan ini suatu yang sangat membanggakan kepada penduduk-penduduk di DUN Demak Laut.

Dalam pada itu, sebuah pusat tahfiz kini dalam perancangan akan dibina di Kampung Bako Seberang.

“Ada seorang insan yang mewakafkan tanahnya untuk dijadikan pusat tahfiz madrasah yang pertama di DUN Demak Laut. Insha Allah.

“Insha Allah ianya akan dilaksana dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi,” katanya.

Sementara itu, Rudzaimeir bin Malek Ketua Bahagian Pembangunan dan Khidmat Komuniti DBKU yang mewakili Datuk Bandar DBKU Datuk Haji Abang Abdul Wahap bin Haji Abang Julai melahirkan kegembiraan di atas penganjuran kali kedua seumpama ini di kawasan DUN Demak Laut.

“Ini merupakan kali kedua penganjuran program seumpama ini dalam berskala sederhana di DUN Demak Laut.

“Di DUN Demak Laut, terdapat 5 KJM merangkumi KJM Muara Tebas, KJM Sejingkat, KJM Goebilt, KJM Bako Hulu dan KJM Bako Lot.

“Kita berharap selepas ini akan banyak wujud KJM-KJM di kawasan DUN Demak Laut bagi membolehkan penganjuran porgram dan aktiviti secara bersama dengan penduduk kampung,” katanya.

Hadir sama Pengerusi KJM Kampung Muara Tebas merangkap Pengerusi Pengelola Karnival Salam Rasul Udin bin Sa’ad, Ketua-ketua Masyarakat dan Pengerusi KJM-KJM Kampung Muara Tebas, Kampung Sejingkat, Kampung Bako.

No comments:

Post a Comment

Back To Top