Music

Header Ads

Wednesday, November 28, 2018

Kemahiran Asas Boleh Menjana Sosioekonomi Tambahan Penduduk – Dr Hazland


KUCHING, 26 November – Manfaatkan kemahiran asas yang dipelajari dalam Kursus Asas Simen Ferro dalam menjana sosioekonomi tambahan penduduk.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hj Hazland Abang Hj Hipni berkata ketika ini keperluan kemahiran yang ada pada diri harus digunakan secara optima bagi menjana sosioekonomi tambahan yang boleh digunakan untuk memperbaiki kehidupan.

“Tujuan diadakan kursus seperti ini adalah untuk meningkatkan ekonomi seluruh penduduk kampung. 

“Program ini akan diteruskan setiap tahun dan dibuka kepada penduduk kampung yang berminat. Ini akan menjadikan jumlah mereka yang berkemahiran dan mempunyai sijil akan bertambah,” katanya semasa berucap di Majlis Penyampaian Sijil Kursus Asas Simen Ferro Modul 2 anjuran Ranting PBB Tabuan Haji Drahman 1 di sini, semalam.

Selepas ini, peserta akan melalui dua lagi kursus yang akan membolehkan setiap peserta mendalami ilmu keusahawan sekiranya mahu menjadikan bidang ini sebagai suatu kerjaya pada masa akan datang.

“Kursus yang dimaksudkan ini ialah Pemasaran Atas Talian (Online Marketing). Ini kita akan adakan di Pusat Komputer di Taman Sepakat Jaya dan Kampung Bako Lot. 

“Manakala, kursus kedua ialah Kursus Asas Keusahawanan yang akan dijalankan serentak dengan Kursus Pemasaran Atas Talian. Kursus-kursus ini membolehkan setiap peserta akan mempelajari penyediaan akaun, mohon lesen, menjadi usahawan dan sebagainya.  

“Ia diadakan secara percuma dan segala perbelanjaan makan dan minum akan dibiayai Pejabat Pusat Khidmat DUN Demak Laut.

“Setiap kursus ini mempunyai sijil dan peserta berpeluang menggunakan sijil-sijil ini untuk mendapatkan bantuan daripada agensi kerajaan dan bank bagi membuka perniagaan,” katanya.

Seramai 20 orang peserta daripada penduduk Kampung Tabuan Haji Drahman 1 telah menghadiri Kursus Asas Simen Ferro yang telah diadakan selama dua hari bermula 24 hingga 25 November 2018.

Dr Hazland turut bersetuju mengadakan Kursus Kayu Palet seperti mana yang dicadangkan Ketua Ranting PBB Kampung Tabuan Haji Drahman 1 Abdullah Mokhtar dalam ucapan aluannya. 

“Pada tahun depan, kita akan mengadakan Kursus Kayu Palet bagi mereka yang berminat dan mempunyai potensi menjadikan perusahaan kayu palet ini sebagai bidang memulakan perniagaan.

“Ini boleh menjadikan jumlah peserta yang menghadiri kursus kemahiran ini bertambah jumlahnya di Kampung Tabuan Haji Drahman 1,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa tiada masalah untuk mencadangkan apa sahaja kursus yang ingin dilaksanakan, tetapi biarlah dilaksanakan mengikut keperluan dan mempunyai sijil yang boleh digunakan bagi mengembangkan potensi diri dan meningkat ekonomi.

Turut hadir Penghulu Kampung Tabuan Haji Drahman Haji Jarawi bin Lias.

No comments:

Post a Comment

Back To Top