Music

Header Ads

Wednesday, November 28, 2018

Kerajaan PH Sembunyi Tangan Atas Kegagalan Sendiri Kini Cuba Salahkan Kerajaan GPS


1. Kenyataan Media beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) Sarawak dibuat selepas menyedari imej Kerajaan PH tercalar dan menurun akibat kegagalan dalam menunaikan janji-janji Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) kepada rakyat di Sarawak.

2. Dalam usaha menutup kelemahan dan kekurangan Kerajaan PH, pemimpin PH Sarawak cuba untuk membabit dan mengaitkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) selepas rakyat Sarawak telah mula sedar bahawa mereka telah ditipu selepas 9 Mei 2018. Rakyat mula sedar mereka telah ditipu akibat daripada tempias yang telah berlaku ke atas rakyat di Semenanjung Malaysia dan Sabah selain beberapa kenyataan Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet Kerajaan PH berkaitan kegagalan mereka menunaikan manifesto. 

3. Selepas berjaya menawan Putrajaya pada 9 Mei 2018 dan membentuk kabinet Persekutuan Kerajaan PH yang turut dibarisi pemimpin PH Sarawak, apakah sumbangan yang telah diberikan kepada rakyat Sarawak dalam tempoh itu? Sebaliknya, banyak projek infra rakyat yang pernah dijanjikan parti terdahulu (Barisan Nasional) dibatalkan tanpa sebarang alasan munasabah. Malah, cadangan pengurangan kos pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo yang dianggarkan sebanyak RM4 bilion telah turut menjejaskan pelaksanaannya yang kini dibelenggu kontraktor yang tidak dibayar. Secara sinis, pemotongan jumlah bajet Lebuh Raya Pan Borneo itu dikatakan bertujuan untuk memberikan kembali jumlah itu kepada Kerajaan Negeri Sarawak dalam Belanjawan 2019 Kerajaan PH. Sehingga kini Menteri Kerja Raya yang juga merupakan Pengerusi PKR Sarawak tidak pernah menjelaskan secara terperinci mengenai alasan pengurangan tersebut biarpun telah ditanya di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lepas?

4. Apakah Kerajaan PH akan mengembalikan hak-hak rakyat Sarawak jika mereka berjaya menang PRN Sarawak akan datang dan memerintah Sarawak? Jawapannya, pasti tidak kerana jika PH Sarawak berjaya ‘merampas’ Sarawak mungkin segala undang-undang atau ordinan di dalam Perlembagaan Negeri Sarawak termasuk kandungan-kandungan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dimansuhkan dan tidak lagi digunapakai di dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak. Ini kerana Kerajaan PH mengawal dan memantau pergerakan PH Sarawak bagi biarpun mereka bercakap mengenai hak autonomi. Ketika itu, menangis pun tiada gunanya disebabkan nasi sudah menjadi bubur.

5. Ketika ini Sarawak hanya memerlukan parti-parti politik tempatan yang bertuankan rakyat Sarawak sahaja dan bukan bertuankan Malaya. GPS benar-benar memperjuangkan nasib rakyat Sarawak dengen memfokuskan kepada mendapatkan kembali hak dalam MA63 dan kuasa autonomi. Tidak seperti PH Sarawak yang terdiri daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP), PKR, Parti AMANAH Negara (AMANAH) dan terbaru yang akan dirasmikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang terpaksa menyembah dan bertuankan Malaya sebagai ‘kuasa’ yang perlu diikuti. Apakah PH Sarawak mampu untuk melawan arahan daripada ketua-ketua mereka yang berada dalam Kerajaan PH?

6. Mengapa PH Sarawak menafikan pembangunan yang telah dan sedang diberikan Kerajaan Negeri Sarawak kepada rakyat Sarawak? Tidak dinafikan bahawa banyak projek pembangunan yang telah dibangunkan di kawasan luar bandar seperti keperluan asas, infra rakyat, kebajikan rakyat dan sebagainya. Tetapi, semua ini tidak diperjelaskan PH Sarawak disebabkan mereka takut dengan bayang-bayang sendiri. Mereka tahu bahawa pembangunan yang dibawa Kerajaan GPS di kawasan luar bandar dan bandar benar-benar telah meringankan beban dan masalah rakyat. Malah, dalam Bajet 2019 Sarawak sebanyak 70 peratus daripadanya jumlah keseluruhannya telah dikhaskan kepada pembangunan luar bandar Sarawak berbanding Belanjawan 2019 Kerajaan PH yang hanya menganaktirikan keperluan rakyat Sarawak di luar bandar mahupun pedalaman.

7. Jika benar PH Sarawak menjaga kebajikan dan pendidikan rakyat di Sarawak, mengapa peruntukan yang disalurkan Kerajaan PH dalam Belanjawan 2019 kepada sekolah-sekolah daif di Sarawak terpaksa dikongsikan bersama dengan negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah dalam jumlah yang sangat sedikit iaitu RM100 juta berbanding kos sebenar yang mencecah lebih RM1 bilion hanya untuk Sarawak sahaja. Kesanggupan Kerajaan Negeri Sarawak mendahulukan pinjaman wang bagi menyelesaikan masalah sekolah daif di Sarawak juga tidak dilayan Kerajaan PH biarpun telah beberapa diutuskan surat. Kedegilan dan keangguhan Kerajaan PH dalam hal ini benar-benar merugikan rakyat Sarawak khususnya anak-anak yang bersekolah di kawasan luar bandar dan pedalaman.

8. Ketiadaan peruntukan sara hidup petani, nelayan, peladang dan pekebun kecil dalam Belanjawan 2019 Kerajaan PH benar-benar melukakan hati rakyat Sarawak yang mana kebergantungan mereka terhadap bantuan ini tidak lagi menjadi keutamaan bila mana musim tengkujuh melanda negara. Keringat dan pengorbanan mereka dalam menyediakan industri makanan di Malaysia sedikit pun tidak dihargai. Akibatnya, mereka terpaksa merenung kembali nasib yang akan dilalui mereka ini apabila berlakunya musim tengkujuh yang menghalang nelayan ke laut bagi mencari ikan selain petani yang akan berdepan dengan risiko tanaman rosak akibat banjir dan sebagainya.

9. Seperti 'Manifesto Kerajaan PH' di peringkat nasional yang kebanyakannya gagal dilaksanakan, PH Sarawak yang turut menjanjikan 7 janji utama sekiranya menang Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) sehingga kini masih lagi gagal ditunaikan. Selain penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan memperkenalkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), ianya langsung tidak membawa apa-apa makna seperti harga barangan turun sebaliknya harga barangan di pasaran mengalami kenaikan yang tidak munasabah. Malah, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang sebelum ini banyak membantu rakyat akhirnya dikurangkan jumlahnya dan akan ditamatkan dalam tempoh masa terdekat kerana Kerajaan PH tidak mahu rakyat terlalu bergantung dengan bantuan kerajaan.

10. Apakah Kerajaan PH masih ingat janji mereka bahawa hari ini menang PRU14, esok harga minyak akan turun. Sebaliknya, itu semua janji palsu dan hanya untuk memerangkap undi sehingga menyebabkan rakyat terpengaruh dan ditipu. Sehingga hari ini, Kerajaan PH masih gagal untuk menurunkan harga minyak sehingga memaksa mereka menyeragamkan harga minyak RON95 dan mengapungkan minyak RON97 sehingga berlakunya kenaikan harga yang sangat tinggi. Paling merasai tekanan adalah nelayan yang banyak bergantung kepada minyak selain rakyat yang tinggal di luar bandar dan pedalaman. 

11. Juga, PH Sarawak tekad mahu mengembalikan 20 peratus minyak dan gas kepada negeri Sarawak, tetapi sehingga kini tiada suatu pun kedengaran suara atau desakan mereka ke atas 'bos' mereka dalam Kerajaan PH. Sebaliknya, hanya Kerajaan Negeri Sarawak atau GPS sahaja yang lantang bersuara sama ada di dalam DUN Sarawak mahupun di media-media serta mengadakan beberapa rundingan dengan Menteri dan Timbalan Menteri Kerajaan PH juga Perdana Menteri. Jelas bahawa, PH Sarawak 'takut' bersuara dan tidak berani dengan bos mereka.

12. Isu mendapatkan kembali hak keputusan dalam pendidikan dan kesihatan kepada Sarawak dilihat sukar untuk PH Sarawak lakukan. Sehingga kini tiada satu pun usaha atau tindakan yang telah pemimpin PH Sarawak lakukan kepada rakyat di Sarawak biarpun telah menjadi Kerajaan Persekutuan selama 6 bulan. Jika ada sekalipun, bantuan yang diberikan hanyalah kepada pendidikan di sekolah-sekolah persendirian Cina. Manakala, kemudahan kesihatan yang merupakan tanggungjawab Kerajaan PH turut tidak diambil peduli khususnya dalam penyediaan kemudahan kesihatan yang baik di luar bandar dan pedalaman.

13. Menyediakan 100,000 peluang pekerjaan kepada mereka yang menganggur di Sarawak diibaratkan ‘mencurah air di atas dan keladi’. Tidak kurang sebulan mengambil alih Kerajaan Persekutuan, lebih 44,000 penjawat awam dalam pelbagai bidang telah dibuang kerja kononnya pengambilan pekerja atas lantikan politik dan kekurangan dana bagi membayar gaji mereka. Selain itu, pembekuan pengambilan penjawat awam baru juga dilihat usaha Kerajaan PH 'melanggar' manisfesto yang pernah dijanjikan kepada rakyat Sarawak. Lebih mendukacitakan, penjawat awam yang dibuang kerja ini langsung tidak diberikan apa-apa pampasan dan terpaksa menanggung kesan akibat diberhentikan kerja. 

14. Rakyat kini tiada pilihan sebaliknya terus memberikan kepercayaan kepada GPS bagi terus membela dan mempertahankan hak rakyat Sarawak seperti mana yang pernah ditegaskan Ketua Menteri Sarawak bahawa hanya rakyat dan parti Sarawak sahaja yang tahu keperluan rakyat Sarawak. Lebih penting lagi, segala keputusan yang dilakukan adalah berasaskan kepada rakyat Sarawak. Rakyat Sarawak kini lebih matang dan belajarlah dari kesilapan sebelum ini dan tekad untuk terus memajukan Sarawak. 

Dr Hazland Abang Hipni
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesara Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut
27 November 2018

No comments:

Post a Comment

Back To Top