Music

Header Ads

Tuesday, December 4, 2018

Rakyat Yakini Kemampuan Parti Tempatan Dalam Pertahankan Hak Sarawak - Dr Hazland


KUCHING, 3 November - Negeri Sarawak kini sedang menuju ke arah negeri maju pada tahun 2030 di bawah pentadbiran kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Jika dibandingkan Sarawak dahulu sewaktu baru merdeka hingga kini, telah banyak perubahan yang berlaku khususnya dari segi kemajuan ekonomi dan pembangunan di kawasan bandar dan luar bandar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata sudah tiba masanya rakyat Sarawak memberi peluang kepada kepimpinan anak tempatan dalam memajukan negeri Sarawak tanpa perlu bergantung kepada orang luar yang sebelum ini ternyata gagal memberikan perhatian kepada keperluan negeri Sarawak.

"Kepimpinan kerajaan negeri telah menetapkan Sarawak akan menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030. Ketetapan ini berdasarkan kepada aspirasi pemimpin yang mahu melihat pembangunan yang dimiliki Sarawak setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Kesungguhan ini dapat kita lihat menerusi peningkatan GDP Sarawak setiap tahun. Malah, Sarawak terus mengekalkan kecemerlangan buat kali ke 16 dalam pengurusan kewangan terbaik di Malaysia berbanding negeri-negeri lain.

"Malah, dalam pembentangan Bajet 2019 Sarawak baru-baru ini menyaksikan Sarawak memperuntukan jumlah bajet yang paling besar dalam sejarah dan di Malaysia iaitu sebanyak RM11.91 bilion," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemasukan parti politik dari luar ke Sarawak yang dilihat cuba untuk menidakkan kemampuan parti-parti tempatan menguruskan ekonominya selepas mengambil keputusan berdiri sendiri selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lepas.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, yakin GPS yang diterajui parti-parti tempatan seperti PBB, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mampu membawa Sarawak lebih maju pada masa akan datang mengikut acuan sendiri.

"Rakyat harus meneruskan sokongan kepada kerajaan negeri dan GPS dalam mentadbir dan membawa Sarawak ke arah negeri yang lebih baik berbanding ketika ini. 

"Dengan sumber dan hasil semula jadi yang diperolehi dari negeri ini, saya percaya Sarawak mampu mencapai negeri maju di bawah kepimpinan GPS bagi tempoh 12 tahun bermula daripada tahun ini.

"Hanya parti-parti tempatan seperti PBB, SUPP, PRS dan PDP yang mampu memperjuangkan hak rakyat Sarawak seperti yang termaktub dalam Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Tidak kurang dan tidak lebih dari itu," tambahnya.

Mengenai beberapa isu pembangunan yang disifatkan sebagai faktor kepada kerencatan pembangunan di Sarawak, beliau menjelaskan kebanyakan kos dan peruntukan projek-projek tersebut datangnya daripada Kerajaan Persekutuan. 

"Projek-projek pembangunan seperti lebuh raya, bekalan air bersih, elektrik dan perumahan adalah dibiayai Kerajaan Persekutuan. Malah, segala pengurusan melibatkan peruntukan dan pemilihan kontraktor dilakukan di peringkat Persekutuan.

"Bagaimanapun, selepas Kerajaan Persekutuan diambil alih Pakatan Harapan (PH) banyak projek pembangunan dan projek rakyat yang dijanjikan di Sarawak sebelum ini telah dibatal dan dimansuhkan. 

"Tidak cukup dengan itu, Sarawak seperti dianaktirikan apabila peruntukan Sarawak dalam Belanjawan 2019 yang dibentangkan Menteri Kewangan pada 2 November lepas menyaksikan jumlah peruntukan yang diberikan kepada Sarawak berkurangan," katanya. 

Dalam pada itu, kita di Sarawak harus bersyukur dan berterima kasih kepada pemimpin-pemimpin Sarawak terdahulu seperti Allahyarham Tun Abdul Rahman Yaakub, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg yang mempunyai wawasan jauh dalam memimpin Sarawak ke arah mencapai status negeri maju.

"Berbanding negeri-negeri lain di Malaysia, Sarawak mempunyai simpanan kewangan yang banyak dan dianggarkan mencecah RM31 bilion. Bagaimanapun, simpanan kewangan ini tidak terusik dan sebaliknya hanya akan digunakan apabila keadaan mendesak.

"Penguatkuasaan OMO58 dan keterlibatan kerajaan negeri dalam industri minyak membolehkan Sarawak memperoleh pendapatan tambahan yang digunakan untuk membangunkan Sarawak. Peruntukan ini juga digunakan bagi meneruskan projek-projek yang telah dibatalkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini seperti jalan raya, jambatan, perumahan dan sebagainya. 

"Keputusan kerajaan negeri menubuhkan Syarikat Petroleum Sarawak (PETROS) dan Bank Pembangunan Sarawak (DBOS) dilihat suatu langkah yang bijak dan jangka panjang dalam terus mendapatkan dana untuk pembangunan berterusan mengikut keperluan dan kehendak semasa.


"Untuk itu, adalah penting bagi rakyat Sarawak untuk terus memberikan sokongan kepada kepimpinan negeri yang diterajui Ketua Menteri Sarawak dalam mempertahankan hak menerusi hasil minyak dan gas serta kuasa autonomi demi kesejahteraan hidup rakyat," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top