Music

Header Ads

Saturday, January 5, 2019

Baru Bian Dikritik Kerajaan PH Cuba Lepas Tangan Dan Lari Dari Tanggungjawab


KUCHING: Cadangan Menteri Kerja Raya Baru Bian yang meminta Kerajaan Negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan Jalan Kampung dengan menggunakan dana negeri mulai tahun ini dianggap tidak beretika dan cubaan lari dari tanggungjawab sebagai kerajaan memerintah.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland bin Abang Hipni berkata kenyataan seumpama itu tidak sepatutnya keluar dari mulut seorang menteri Kerajaan Persekutuan yang dikatakan cukup lantang mahu membela rakyat tetapi dalam masa yang sama mahu menyusahkan Kerajaan Negeri.

"Berdasarkan amalan sebelum ini, Jalan Persekutuan dan Jalan Kampung adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Ianya dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang dilantik.

"Begitu juga dengan Jalan Negeri di mana peruntukannya datang daripada Kerajaan Persekutuan. Amalan ini telah lama dipraktikan oleh kerajaan terdahulu.

"Alasan bahawa belanjawan nasional terhad dan jumlah hutang Kerajaan Persekutuan yang besar sering kali dijadikan sebab banyak projek Kerajaan Persekutuan tidak dapat dilaksanakan telah tidak dapat digunapakai lagi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Kerja Raya Baru Bian yang meminta Kerajaan Negeri membiayai kos penyelenggaraan Jalan Persekutuan dan Jalan Kampung di peringkat negeri pada tahun ini.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut juga mempersoalkan penggunaan dana negeri untuk menyelenggara Jalan Persekutuan dan Jalan Kampung yang mana peruntukannya tidak mampu menampung kos penyelenggaraan disebabkan peruntukan yang diterima dalam Belanjawan 2019 adalah sedikit.

"Sarawak, misalnya hanya menerima peruntukan sebanyak RM4.346 bilion atau 7.94 peratus daripada jumlah keseluruhan Belanjawan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berjumlah RM54 bilion di bawah perbelanjaan pembangunan. 

"Sudahlah peruntukan Kerajaan Negeri yang diterima sedikit dan adalah tidak adil juga untuk Kerajaan Negeri menanggung kos penyelenggaraan tersebut. 

"Ini seolah-olah Kerajaan Persekutuan cuba lepas tangan dan memberikan tekanan kepada Kerajaan Negeri dengan alasan-alasan tidak munasabah," tambahnya. 

Apakah Kerajaan PH tidak mempunyai pelan alternatif untuk menampung masalah ini seperti mana yang sering diamalkan menteri daripada kerajaan terdahulu menerusi dana tambahan?

Cukup-cukuplah apa yang telah diputuskan Kerajaan PH sebelum ini dengan membatalkan banyak projek rakyat yang dijanjikan kerajaan terdahulu khususnya di Sarawak.


Baru-baru ini, Baru Bian telah mengumumkan Kerajaan PH 'menangguh' pembinaan tiga jambatan di Saarwak iaitu Jambatan Batang Lupar, Jambatan Igan dan Jambatan Rambungan.

No comments:

Post a Comment

Back To Top