Music

Header Ads

Friday, January 4, 2019

Menjelang Perasmian GPS: GPS Pembela Rakyat Dan Negeri Sarawak


KUCHING: Penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menggantikan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) lepas dibuat selepas mengambil kira kepentingan rakyat dan negeri Sarawak pada masa akan datang. 

Biarpun keputusan itu tidak dijangka, tetapi berdasarkan kepada keperluan dan kehendak rakyat dan negeri Sarawak, komponen parti tempatan Sarawak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (PDP) perlu meneruskan usaha memajukan Sarawak dan memelihara rakyatnya di dalam suasana politik yang berbeza.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata keputusan keluar BN dan menubuhkan GPS diambil selepas mengambil kira pandangan rakan-rakan dalam komponen dan demi menjaga kepentingan rakyat dan negeri berdasarkan kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"GPS dijangka akan menghadapi cabaran besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke 12 akan datang. Ini kita tidak dapat nafikan. Bagaimanapun, kita kini telah bergerak sendiri dan harus bersedia dengan menyusun strategi demi mendapatkan sokongan berterusan.

"Dahulu kita bekerjasama dengan BN dalam konteks politik yang besar. Hari ini kita telah bergerak sendiri, sesuatu yang belum pernah kita alami sebelum ini.

"Demi hak rakyat dan negeri Sarawak, kita semua perlu bangkit berjuang daripada jiwa perjuangan anak jati Sarawak untuk mendapat dan mempertahankan segala hak seperti terkandung dalam MA63," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran yang akan dihadapi GPS menjelang perasmiannya pada 19 Januari ini.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata pembentangan Bajet 2019 Sarawak pada November lepas juga memperlihatkan kematangan Kerajaan Negeri Sarawak dalam mengurus kewangan dan membangunkan Sarawak biarpun peruntukan yang diterima dalam Belanjawan 2019 Persekutuan tidak mencukupi seperti yang diharapkan rakyat.

"Peruntukan Bajet 2019 Sarawak yang bernilai RM11.914 bilion seperti yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak adalah yang pertama tertinggi dalam sejarah dan suatu isyarat bahawa Sarawak mampu membina negeri ini tanpa bantuan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Malah, sebahagian besar peruntukan Bajet 2019 yang berjumlah RM9.073 bilion disalurkan kepada kawasan luar bandar bagi tujuan pembangunan," katanya.

Apa yang berlaku selepas PRU14 telah mengajar kita erti kerjasama dan bantuan sepanjang 55 tahun bersama Parti Perikatan dan BN.

"Pastinya apa yang berlaku sepanjang bersama Perikatan dan BN dalam dunia politik suatu yang banyak dipelajari dan tidak sanggup untuk diulangi kelemahan dan kesilapan yang lepas," katanya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top