Music

Header Ads

Monday, December 31, 2018

Tahun Baharu, Satu Permulaan Baharu, Terus Bergerak Mencapai Kejayaan


1. Tahun 2018 telah melakar sejarah tersendiri di Sarawak dan Malaysia khususnya perkembangan politik selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) Mei lepas.

2. Keputusan PRU14 yang menyaksikan perubahan kerajaan Persekutuan Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) memperlihatkan bagaimana kuasa dan pilihan rakyat mampu mengubah senario politik negara. Secara langsung menunjukkan rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memilih pemimpin dan parti yang akan memimpin mereka di samping memperlihatkan amalan demokrasi di Malaysia subur tidak seperti negara lain yang politiknya bergolak sehingga keselamatan dan keamanan terancam.

3. Di Sarawak, tindakan parti tempatan PBB, SUPP, PRS dan PDP keluar Barisan Nasional (BN) selepas mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak ekoran BN kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan menyaksikan penubuhan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

4. Kelulusan GPS pada 19 November lepas telah membuka lembaran baru kepada politik Sarawak untuk tahun-tahun seterusnya berlandaskan kepada kepentingan rakyat dan negeri Sarawak. Ini merupakan sejarah yang tercipta selepas parti poltik Sarawak sebelum ini bergabung dengan Paerti Perikatan pada 1963 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) 1974 hingga 2018.

5. Dalam Bajet 2019 Sarawak, memperlihatkan sejarah tercipta di mana Kerajaan Negeri Sarawak buat pertama kali memperuntukan sebanyak RM11 bilion yang merupakan tertinggi dalam sejarah Sarawak. Ini susulan daripada kejayaan Kerajaan Negeri Sarawak menggunakan pakai Ordinan Perlombongan Minyak 1958 (OMO58) selain beberapa inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak dalam menjana pendapatan sekaligus digunakan untuk pembangunan Sarawak pada 2019.

6. Pada 19 Januari 2019, GPS akan dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg. Pelancaran itu sekaligus membawa kepada misi dan aspirasi Kerajaan Negeri Sarawak untuk membela dan membawa lebih banyak pembangunan kepada negeri Sarawak menjelang mencapai negeri maju tahun 2030.

7. Kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak tidak pernah lupa malah akan terus memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Ini penting bagi membolehkan hak Sarawak khususnya dalam mendapatkan kembali sumber asli seperti minyak dan gas serta beberapa polisi dan dasar lain dapat dikembalikan seperti asal.

8. Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat meneruysi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke 11 dan 12 sudah pasti tahun 2019 akan memperlihatkan lebih banyak pembangunan di bawa ke DUN Demak Laut sama ada pembangunan infrastruktur, fizikal dan rohani selain modal insan. Ini dapat disaksikan dengan siapnya Jambatan Bako dan kelulusan projek perumahan Bako, Sejingkat dan Tabuan seperti yang diumumkan Ketua Menteri Sarawak dalam pembentangan Bajet 2019 Sarawak November lepas.

9. Keprihatinan Kerajaan Negeri Sarawak yang meneruskan beberapa projek Kerajaan Persekutuan yang dibatalkan sebelum ini suatu perkara yang perlu diberikan perhatian, membuktikan GPS yang dipimpin anak-anak tempatan tahu akan keperluan rakyatnya. Untuk itu, adalah penting untuk rakyat Sarawak terus memberikan sokongan dan keyakinan kepada GPS untuk mentadbir Sarawak pada PRN13 akan datang. 

10. Kini, rakyat Sarawak perlu memahami perubahan senario politik di Malaysia yang memerlukan kerjasama dan sokongan kepada pemimpin tempatan. Kita kena berpijak di bumi yang nyata dan perlu bergerak ke hadapan dalam memastikan agenda pembangunan dan memajukan negeri Sarawak tercapai dengan jayanya.

11. Jadikan tahun 2019 ini sebagai masa dan keadaan yang lebih baik untuk negeri kita biarpun menghadapi pelbagai cabaran akan datang tanpa kita ketahui. Selagi kita bersama antara rakyat dan pemimpin, maka selagi itu negeri kita akan terus membangun dan maju. 

Selamat Tahun Baru 2019 

Dr Hazland Abang Hipni
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Sarawak Merangkap 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top