KUCHING, 30 Disember - Program Jom Gunting Rambut ini merupakan anjuran bersama SEBERKAS Demak Laut dan Pemuda PBB N.05 Demak Laut sebagai usaha membantu ibu bapa dalam mempersiapkan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan 2019 pada 2 Januari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni berkata usaha SEBERKAS dan Pemuda PBB DUN Demak Laut dalam menganjurkan program Jom Gunting Rambut amat dialu-alukan dan disokong sepenuhnya.
"Saya gembira melihat anak-anak yang telah menggunting rambut ini tersenyum gembira bersama ibu bapa mereka.
"Mereka ini bukan sahaja kelihatan segak dan bergaya, tetapi juga wajah mereka penuh keyakinan dalam melangkah ke sesi persekolahan.
"Malah, ada anak-anak yang buat pertama kalinya akan ke sekolah seolah-olah tidak sabar untuk ke sekolah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau gerak kerja program Jom Gunting Rambut di Kampung Tabuan di sini pagi tadi.
Sebanyak 17 buah kampung terlibat dalam Jom Gunting rambut yang diadakan serentak hari ini bermula 9 pagi hingga 5 petang.
Sementara itu, beberapa ibu bapa yang ditemui menyifatkan program Jom Gunting Rambut yang diadakan ini suatu usaha yang baik buat mereka yang tinggal di jauh dari bandar.
Salah seorang bapa yang namanya enggan disiarkan memuji penganjuran program menggunting rambut bagi anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan minggu depan.
"Saya sangat menyokong usaha SEBERKAS dan Pemuda PBB Demak Laut dalam mengadakan program gunting rambut.
"Ketika ini kos menggunting rambut di pasaran sangat mahal, lebih-lebih lagi dalam mengenakan fesyen barber sebegini.
"Dengan adanya program Jom Gunting Rambut, ibu bapa bukan sahaja dapat mengurangkan kos tanggungan tetapi juga gembira melihat anak-anak kelihatan segak dan yakin dengan fesyen rambut terbaru," katanya.
Sementara itu, seorang ibu yang hanya dikenali sebagai Fatimah bersyukur dengan adanya program gunting rambut untuk anak-anak.
"Kami ibu bapa kadang-kadang sukar untuk membawa anak-anak ke pasar untuk menggunting rambut lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak ramai.
"Menerusi program Jom Gunting Rambut ini juga, ibu bapa dapat mengurangkan kos gunting rambut dan gembira melihat rambut anak-anak kemas dan segak," katanya.
No comments:
Post a Comment