Music

Header Ads

Monday, January 7, 2019

Lim Guan Eng Mengurus Negara Dengan Perasaan Dendam


1. Menteri Kewangan cuba mengalih perhatian rakyat bahawa dengan menyatakan Kerajaan Negeri Sarawak berhutang dengan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion dan tunggakan hampir RM50 juta. Walhal, sehingga kini Kerajaan Persekutuan masih belum membayar cukai pelancongan seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

2. Itulah taktik dan propaganda Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebaik sahaja menaiki takhta Kerajaan Persekutuan bermula 9 Mei selepas menang Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lepas. Menafi, menidak dan mengalih hal sebenar bertujuan supaya Kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi dipersalahkan dan membangkitkan hal lain yang boleh menyebabkan rakyat mula lupa isu asas yang dibawa.

3. Bagaimana dengan hasil minyak dan gas Sarawak yang diambil Kerajaan Persekutuan menerusi syarikat Petronas pada tahun 1975 selepas pelaksanaan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974? Sejak dari itu, Sarawak hanya diberikan sebanyak 5 peratus royalti manakala 95 peratus royalti lagi diambil Kerajaan Persekutuan. 

4. Itulah Lim Guan Eng dan Kerajaan PH yang terlalu banyak berpolitik sehingga lupa akan tanggungjawab mereka sebagai Kerajaan pada hari ini. Sejak dari awal lagi selepas dilantik sebagai Menteri, Lim Guan Eng telah membalas dendam dengan beberapa kenyataan dan tindakan yang disifatkan sebagai keterlaluan dan tidak wajar dilakukan oleh seseorang yang bergelar Menteri.

5. Menteri Kewangan Kerajaan PH perlu tahu perkara pokok yang dibincangkan iaitu cukai pelancongan dan bukannya hutang atau pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak. Cukai dan hutang adalah dua perkara yang berbeza dengan hutang wajib dibayar dalam apa cara sekalipun dan cukai pelancongan wajib dikembalikan kepada yang berhak seperti yang diminta Kerajaan Negeri Sarawak.

6. Kami, pemimpin di peringkat Kerajaan Negeri Sarawak tahu dan akur bahawa hutang Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan perlu dibayar dan ianya sedang dilaksanakan mengikut ketetapan. Hutang atau pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak ini adalah untuk menyediakan kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar dan pedalaman Sarawak sejak sekian lama dan berterusan. 

7. Sehingga kini, hutang Kerajaan Negeri Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan sentiasa dikemaskini dan dibayar mengikut ketetapan. Malah, dakwaan Lim Guan Eng yang mengatakan Kerajaan Negeri Sarawak belum lagi membayar hutang Kerajaan Persekutuan adalah suatu bentuk penganiyaan yang tidak wajar disembunyikan. Ini kerana hutang atau pinjaman Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai syarat pembayaran baliknya tersendiri.

8. Keadaan Malaysia ketika ini dalam bahaya disebabkan banyak polisi dan dasar Kerajaan Persekutuan terdahulu telah dimansuh dan diketepikan dalam usaha menyisihkan imej Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. Ini menyebabkan rakyat mula merasai tekanan dalam pelbagai cara seperti kenaikan harga barang, pelabur luar lari, tidak banyak pelabur datang ke Sarawak dan sebagainya.

Sekian.

Dr Hazland Abang Hipni
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) PBB Merangkap
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top