Music

Header Ads

Friday, December 27, 2019

Mansuh BIPK Bukti Kerajaan PH Gagal Dalam Mentadbir Perkhidmatan Awam Di Malaysia


KUCHING: Tindakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bermula tahun depan bukan sahaja menjejaskan perkhidmatan awam tetapi juga menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal dalam mentadbir negara khususnya dalam perkhidmatan awam. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berkata pemansuhan BIPK bagi 33 skim perkhidmatan yang bermula tahun depan akan menjejaskan perkhidmatan awam khususnya dalam bidang perubatan termasuk di Sarawak. 

“Pemansuhan BIPK ini akan menyebabkan bidang perubatan akan kembali kritikal disebabkan ramai graduan lepasan perubatan tidak akan berminat memasuki perkhidmatan awam. Asas BIPK ini diwujudkan pada tahun 1992 berikutan kekurangan bekalan tenaga kerja dalam sektor tertentu ketika itu yang bertujuan untuk menarik graduan berkhidmat dengan kerajaan.

“Selain itu, keputusan itu juga menunjukkan bahawa Kerajaan PH gagal mentadbir negara khususnya dalam perkhidmatan awam tanpa melihat kesan yang akan dihadapi pada masa akan datang. 

“Sebelum ini, selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) Kerajaan PH juga telah memberhentikan pekerja-pekerja dalam perkhidmatan awam,” katanya ketika dihubungi bagi mendapatkan reaksi berkenaan pengumuman JPA yang akan memansuhkan BIPK dalam perkhidmatan awam. 

Tambah Dr Haji Hazland lagi, beliau khuatir pemansuhan BIPK ini juga akan menyebabkan perasaan tidak puas hati di kalangan doktor muda yang akan berkhidmat di perkhidmatan awam bermula tahun depan.

“Ini akan mengundang suasana tidak baik dan menyenangkan dalam kalangan perkhidmatan awam dengan skop dan tugasan yang diberikan adalah sama kecuali tidak mendapat BIPK.

“Selepas ini, dijangka graduan lepasan perubatan akan beralih kepada sektor swasta yang menawarkan gaji yang tinggi selain elaun yang lumayan,” tambahnya. 

Beliau yang juga pengamal perubatan berkata sepatutnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) terlebih dahulu mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan berkenaan isu ini dengan mengambil kira keperluan tertentu sebelum membuat keputusan.

“Apa yang dilakukan JPA ini adalah tidak wajar dengan keputusan yang dilakukan itu tidak mengambil pandangan dan cadangan pihak berkaitan.

“Kita ada badan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO’s) dalam bidang perubatan yang mewakili pegawai dan doktor perubatan yang menjaga kebajikan dalam tugasan mereka. 


“Sepatutnya, JPA berbincang dengan mereka dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan tugas perkhidmatan awam dalam sektor perubatan ini tidak akan terjejas,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Back To Top