Music

Header Ads

Friday, July 27, 2018

Kerajaan Sarawak Aktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana Serta Merta


KUCHING - Kerajaan Sarawak membuat keputusan mengaktifkan Bilik Gerakan Operasi Bencana di peringkat Daerah dan Bahagian yang terjejas akibat Kemarau dengan serta-merta bermula 25 Julai ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah berkata perkara itu diputuskan dalam satu taklimat khas yang diadakan di Pejabat Residen Kota Samarahan semalam.

Uggah berkata setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) hendaklah menubuhkan 1st Response Team.

“Pasukan ini bertanggungjawab melaporkan masalah air kepada pusat khidmat dan menghantar aduan tersebut kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk diambil tindakan penghantaran bekalan air bersih sama ada air tangki yang diuruskan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) atau air minuman botol diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” kata Uggah.

Uggah berkata keputusan dibuat berikutan daripada keadaan cuaca yang kering secara berterusan selama lebih kurang dua minggu di Sarawak telah menyebabkan beberapa kawasan khasnya di Daerah Bau, Sri Aman, Pakan, Sibu, Kapit, Marudi, Limbang, Betong dan Asajaya mengalami gangguan bekalan air.

Akibat daripada keadaan bencana kemarau, pihak JBALB telah melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bahawa terdapat empat buah loji rawatan air di bawah seliaan mereka terjejas teruk.

“Loji Rawatan Air Simunjan, Samarahan - Keadaan kolam takungan ini telah kering dan pihak JBALB memohon agar pembenihan awan dilakukan dengan kadar segera bagi mengatasi masalah air.

“Loji Rawatan Air Slabi, Serian, paras air di muka Sauk mulai berkurangan 1 meter berbanding dengan paras normal. Jika paras air menurun lagi sebanyak 1.5 meter, maka pam di loji tidak dapat beroperasi. JBALB juga memohon pembenihan awan dilakukan.

“Loji Rawatan Air Lundu, Kuching - paras air di muka Sauk amat kritikal. Buat masa ini, ianya hanya mengharapkan air lebihan dari takungan Hidro SEB Gunung Gading.

“Loji Rawatan Air Bayai, Sri Aman - paras air di Bayai juga telah menurun dan dikhuatiri keadaan bertambah tenat,” tegas Uggah kepada Utusan Borneo.

Uggah berkata setakat hari ini, pelbagai agensi telah turun padang dan bekerjasama dalam usaha untuk memastikan kawasan yang terlibat dapat diagihkan dengan bekalan air bersih iaitu JBALB, JKM dan Angkatan Tentera Malaysia.

Setakat hari ini, pelbagai agensi telah turun padang dan bekerjasama dalam usaha untuk memastikan kawasan yang terlibat dapat diagihkan dengan bekalan air bersih iaitu: Uggah berkata pihaknya menghadapi beberapa isu dalam usaha membantu penduduk yang berada di kawasan bencana kemarau

“Lori besar yang membawa tangki tidak dapat memasuki jalan kampung telah menyukarkan kerja pengagihan air kepada penduduk; pembenihan awan tidak akan dilaksanakan dalam minggu ini dan tertakluk kepada keadaan semasa. Pemantauan dan pemakluman akan dilakukan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia; dan pihak-pihak berwajib khususnya JBALB dan Jabatan Kebajikan Masyarakat diarahkan supaya membuat penghantaran air dalam masa 6 jam selepas menerima aduan/ laporan daripada pejabat Residen,” terang Uggah.

“Semua perkara ini dikemukakan untuk makluman Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) berkenaan status terkini keadaan bencana (kemarau) di negeri Sarawak,” rumus Uggah. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top