Music

Header Ads

Sunday, July 29, 2018

Sarawak Bekal 100 Peratus Bekalan Utiliti Guna Dana Sendiri Menjelang 2025


KUCHING - Pembangunan utiliti diberi tumpuan utama melalui dana sendiri bagi mencapai misi membekalkan 100 peratus bekalan utiliti menjelang 2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, utiliti merupakan isu yang dekat dengan rakyat Sarawak yang perlu ditangani segera agar mereka tidak lagi menanggung derita khususnya apabila berlakunya ketiadaan bekalan air dan elektrik.

Beliau menjelaskan selama ini, Sarawak terpaksa menunggu peruntukan yang sering lewat diberikan sehingga Oktober setiap tahun daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) menyebabkan kesukaran pelaksanaan projek utiliti kerana di akhir tahun.

“Oleh itu, saya berharap kakitangan agensi dan jabatan yang berkaitan utiliti dapat mempersiapkan diri dalam menghadapi tempoh yang sukar ini bagi memastikan 100 peratus rakyat di negeri ini dapat menikmati kemudahan utiliti menjelang 2025 kelak.

“Kita tidak boleh lagi menunggu peruntukan daripada kerajaan pusat kerana masalah berkaitan utiliti ini harus diselesaikan dengan segera dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya pada Majlis Anugerah Cemerlang Utiliti di Hotel Waterfront di sini, malam kelmarin.

Abang Johari menegaskan, Sarawak akan mengguna pakai dana yang fiskalnya kukuh bagi meningkatkan kemampuan sumber dana Sarawak menjelang Oktober kelak.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan Sarawak mahu terus menuntut royalti minyak dan gas supaya dapat menyumbangkan dana bagi tujuan pembangunan utiliti di negeri ini.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri telah menulis surat kepada Kementerian Kewangan pusat untuk memberi peruntukan bagi membantu membangunkan sekolah-sekolah daif yang terdapat di negeri ini.

Namun, beliau menjelaskan sekiranya kementerian itu belum mempunyai peruntukan, kerajaan Sarawak sedia memberi pinjaman sebanyak RM1 bilion terlebih dahulu dan kerajaan pusat akan membayar balik jumlah itu.

Jelasnya, peruntukan itu akan digunakan untuk membaiki sekolah-sekolah daif serta menyediakan kemudahan yang sama dengan sekolah yang ada di bandar termasuk kemudahan air dan elektrik.

Justeru, beliau berharap sekiranya dua kemudahan utiliti iaitu air dan elektrik dapat dilaksanakan dengan lancar, maka Sarawak dapat terus maju pada masa akan datang.

Terdahulu, Menteri Utiliti Dato Sri Stephen Rundi Utom yakin pelaksanaan projek bekalan air di Sarawak dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dan setakat ini projek tersebut berjalan mengikut jadual.

“Dengan projek bekalan air yang sedang dijalankan ketika ini, saya yakin ia dapat disiapkan penghujung tahun 2021, sekali gus dapat memanfaatkan kemudahan rakyat yang berdepan krisis air khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinannya merealisasikan cabaran Ketua Menteri untuk memastikan perancangan projek itu lancar.

Malah, Dr Rundi mendedahkan, dalam usaha memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang terjejas, pihaknya turut berdepan aduan masalah di tempat lain, namun ia tidak harus dijadikan alasan untuk tidak melunaskan tanggungjawab kepada masyarakat.

Turut hadir pada majlis tersebut Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Bekalan Air Datuk Liwan Lagang dan tetamu kehormat lain. -Utusan Borneo Online

No comments:

Post a Comment

Back To Top