Music

Header Ads

Wednesday, November 21, 2018

Lulus GPS, Rakyat Berterima Kasih Kepada Kerajaan Persekutuan


KUCHING, 19 November - Kelulusan pendaftaran Gabungan Parti Sarawak (GPS) seperti yang diumumkan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu menggulung perbahasan Belanjawan 2019 peringkat dasar untuk Kementerian Dalam Negeri di Dewan Rakyat petang tadi sangat-sangat dialu-alukan rakyat Sarawak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dr Hazland Abang Hipni berkata selepas hampir lima bulan menunggu, akhirnya pendaftaran GPS telah diluluskan pada hari ini dan sekali gus membuka lembaran baharu kepada landskap politik Sarawak selepas keputusan parti-parti tempatan Sarawak yang terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP) keluar Barisan Nasional (BN) dan menubuhkan GPS pada 12 Jun lepas.

"Terima kasih kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang telah meluluskan pendaftaran GPS gabungan empat parti tempatan Sarawak yang terdiri dari PBB, SUPP, PRS dan PDP. Difahamkan surat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan akan dikeluarkan dalam masa terdekat. 

"Lulusnya pendaftaran GPS, membolehkan landskap politik Sarawak mula berubah dan berteraskan anak tempatan Sarawak. 

"Keputusan ini juga membolehkan GPS bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) dalam mengembalikan hak rakyat dan negeri Sarawak yang terhakis secara sengaja atau tidak sengaja dalam konteks Perlembagaan Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai kelulusan pendaftaran GPS di sini, petang ini.

Dr Hazland yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menegaskan GPS ditubuhkan bagi mempertahankan hak Sarawak dan akan bekerjsama dengan Kerajaan Persekutuan atas dasar kepentingan negeri dan nasional.

"Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebelum ini menegaskan bahawa kewujudan GPS bertujuan memelihara dan menjaga hak Sarawak. 

"Untuk itu, kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam membangunkan negeri Sarawak ini berlandaskan kepada kepentingan dan keperluan rakyat. Kita hanya mahukan hak Sarawak dikembalikan dan membangunkan negeri Sarawak ini mengikut Perlembagaan Malaysia.

"Langkah ini penting bagi membolehkan segala hak dan kepentingan Sarawak seperti minyak dan gas serta kuasa autonomi dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang dikembalikan dan terus dipelihara kepentingannya," tambahnya lagi. 

Buat pertama kali dalam sejarah Sarawak sejak penubuhan Malaysia 55 tahun lepas, kuasa politiknya dalam kedudukan yang kuat tanpa sebarang campur tangan mana-mana gabungan daripada Semenanjung Malaysia.

Landskap politik baharu Sarawak kali ini membolehkan Sarawak melangkah ke hadapan dalam menghadapi cabaran baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14). 

GPS seperti mana tujuan asal penubuhannya mengambil kira kepentingan rakyat Sarawak tanpa mengambil kira kaum secara inklusif.

Ini kerana hanya rakyat Sarawak dan parti Sarawak sahaja yang tahu akan keperluan negeri Sarawak.  

No comments:

Post a Comment

Back To Top