Music

Header Ads

Monday, November 19, 2018

Tunai Janji Dahulu Sebelum Bercita-cita Tawan Demak Laut



KUCHING: Parti Amanah Negara (AMANAH) yang merupakan sebahagian daripada komponen parti dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa menunaikan janji Pilihan Raya Umum Ke-14 ( PRU14) dahulu sebelum memikirkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Demak Laut Amzah Dollah berkata, calon AMANAH di DUN Demak Laut wajar menunaikan janji PRU14 mereka sebagai sebuah parti pemerintah di peringkat kerajaan persekutuan sebelum bercita-cita hendak memenangi kerusi DUN Demak Laut pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) akan datang.

“Kita di peringkat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Demak Laut mengalualukan AMANAH membuka cawangan di kawasan DUN Demak Laut seperti di Taman Mesra Bako dan Kampung Tanjung Bako.

“Bagaimanapun, terpulang kepada rakyat sama ada menerima atau tidak kehadiran mereka. Semua ini terserah kepada rakyat yang menentukannya kerana rakyat di DUN Demak Laut sudah matang untuk membuat keputusan.

“Saya yakin rakyat ketika ini sudah memahami perjuangan parti tempatan seperti PBB dalam memperjuangkan hak rakyat dan negeri Sarawak.

“Tidak seperti parti pembangkang yang datangnya dari Semenanjung Malaysia dan hanya mahu mengaut hasil bumi Sarawak seperti minyak dan gas,” katanya ketika diminta mengulas mengenai keyakinan AMANAH untuk menawan DUN Demak Laut pada PRN12 di sini, barubaru ini.

Sementara itu, Ketua Ranting Taman Bako Mesra Dollah Harun berkata, AMANAH boleh meletakkan keyakinan yang tinggi melangit, tetapi rakyat berkuasa untuk memilih.

“Kami menghormati keyakinan AMANAH untuk cuba memenangi DUN Demak Laut dalam PRN12 menerusi apa yang dilakukan ketika ini dengan menambah keahlian dan menubuhkan cawangan di beberapa kampung dalam DUN Demak Laut.

“Di peringkat cawangan dan ranting PBB DUN Demak Laut, kami PBB tidak akan berdiam diri dan akan sentiasa menambah keahlian di setiap ranting dari semasa ke semasa dalam memastikan PBB terus relevan kepada rakyat di DUN Demak Laut.

“Malah, selepas 9 Mei lepas, jumlah mereka yang mendaftar sebagai ahli PBB semakin meningkat kerana mereka tahu hanya PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sahaja yang mampu menjaga dan memelihara Sarawak,” tegasnya.

Malah, beliau memberitahu, ADUN Demak Laut sehingga hari ini tidak pernah jemu turun padang dan berdamping dengan rakyat dalam menyelami masalah mereka dan menyalurkan pembangunan setempat.

Kenyataan tersebut disokong Ketua Ranting PBB Kampung Bako Lot Sabri Jublie yang mempersoalkan sumbangan yang diberikan AMANAH kepada penduduk di DUN Demak Laut khususnya mereka yang tinggal di Bako.

“Selepas tiga kali pilihan raya termasuk dua kali PRN Sarawak dan sekali PRU14 yang lepas menyaksikan calon AMANAH bertanding dan kalah. Selepas kalah, tiada lagi nampak batang hidung mereka sehingga tiba pilihan raya yang baharu.

“Walaupun kalah di peringkat Parlimen, tetapi mereka (AMANAH) berjaya memenangi PRU14 dan berjaya membentuk kerajaan PH bersama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Biarpun menjadi kerajaan Persekutuan, apakah projek yang diberikan AMANAH kepada penduduk di DUN Demak Laut? Sebaliknya, kerajaan PH banyak membatalkan projek-projek rakyat termasuk beberapa projek yang akan dilaksanakan di Kampung Bako,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Ranting PBB Kampung Bako Tengah Azhar Hamdan, ketika ini kawasan Bako sedang pesat membangun di bawah pentadbiran ADUN Dr Hazland Abang Hipni dan PBB.

“Jambatan Bako yang merupakan projek kerajaan Sarawak kini telah siap dan dijangka akan dibuka kepada penduduk kampung pada Disember ini. Projek ini akan memberikan manfaat kepada kira-kira 5,000 penduduk di Kampung Bako Hulu, Kampung Bako Tengah dan Kampung Bako Hilir.

“Tidak cukup dengan itu, beberapa projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dan projek di peringkat DUN telah dilaksanakan di semua kampung di DUN Demak Laut termasuk Kampung Bako. Ini secara langsung telah berjaya membangunkan Bako sebagai sebuah kawasan yang sedang membangun,” ujarnya.

Jelasnya, Dr Hazland memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan Bako dan Demak Laut dan tiada alasan untuk tidak menyokong beliau dan PBB pada pilihan raya akan datang.

Bagi Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Demak Laut Kamaluddin Hussain, pengundi di kawasan Demak Laut khasnya pemuda sudah faham mengenai politik semasa Sarawak selepas apa yang berlaku pada 9 Mei lepas.

“Ketika ini, Sarawak berdiri sendiri dan kuat dalam mentadbir negeri tercinta ini sehingga mampu memperoleh pendapatan tinggi hasil daripada hasil bumi seperti minyak dan gas selain pelaburan asing.

“Cukuplah. Sudah tiba masanya Sarawak berdiri sendiri dan ditadbir rakyat tempatan tanpa campur tangan daripada orang luar yang kita tidak tahu apa muslihat mereka,” katanya.

Mengenai jumlah keahlian PBB DUN Demak Laut, Setiausaha PBB Cawangan DUN Demak Laut Khalid Sulong memberitahu, jumlahnya ketika ini telah meningkat kepada lebih 10,000 dan dijangka akan terus mencatat peningkatan dari tahun ke tahun.

“Peningkatan ini amat wajar berdasarkan kepada peningkatan jumlah pengundi berdaftar yang berjumlah lebih 14,000.

“Kita di peringkat cawangan PBB Demak Laut akan terus mempergiatkan pendaftaran keahlian PBB dari semasa ke semasa dengan sasaran utamanya mahu menjadikan keahlian PBB seimbang dengan jumlah pengundi berdaftar supaya sokongan rakyat kepada PBB dapat diteruskan pada PRN12 akan datang,” katanya.

Pada PRN11 2016, Dr Hazland Abang Hipni yang mewakili PBB menang dengan majoriti 7,382 undi selepas memperoleh 8,539 undi mengalahkan calon AMANAH Fidzuan Zaidi yang mendapat 1,157 undi.

DUN Demak Laut mempunyai seramai 13,830 pengundi berdaftar.

(Sumber: Utusan Borneo Online, https://www.utusanborneo.com.my/2018/11/19/tunai-janji-dahulu-sebelum-bercita-cita-tawan-demak-laut

No comments:

Post a Comment

Back To Top